Tajuddin yakin UMNO akan jadi parti dominan selepas PRU-15

Tajuddin yakin UMNO akan jadi parti dominan selepas PRU-15

Umno menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan harapan dapat mengubah kesilapan yang telah dilakukan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya Umno, Tajuddin Abdul Rahman berkata sebaliknya kerajaan PN dibelenggu dengan pelbagai masalah.

Oleh itu katanya, dia yakin Umno akan menjadi menjadi parti dominan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan mengambil kira senario politik semasa.

“Khususnya kekecewaan rakyat terhadap kerajaan 22 bulan pimpinan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang masih belum ditebus.

“Kerajaan hari ini boleh mengubah kesilapan itu dan kerana itu Umno menyokong kerajaan hari ini kerana menaruh harapan yang tinggi kesilapan lalu di bawah pimpinan Dr Mahathir agar dapat ditebus.

“Tetapi malangnya kerajaan (PN) masih dibelenggu dengan pelbagai masalah yang tidak dapat menebus kesilapan PH,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online.

Tajuddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan ahli parlimen Langkawi itu yang membayangkan tidak ada mana-mana parti yang akan memenangi kerusi pada PRU15 boleh membentuk sebuah kerajaan stabil.

Ini ekoran terlalu banyak parti yang mahu bertanding, namun tidak ada satu pun parti dominan.

Mengulas lanjut, Tajuddin yang juga ahli parlimen Pasir Salak melahirkan keyakinan Umno akan menjadi parti dominan mengatasi parti-parti lain secara berasingan dalam pilihan raya umum

Katanya, hal ini berdasarkan kekuatan Umno berbanding parti lain yang bergabung di atas nama parti tetapi tidak ada akar umbi, tidak mempunyai cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM)

Jelasnya, Umno yang memiliki 191 bahagian dan lebih 21,000 cawangan.

“Walaupun Umno mengakui bilangan cawangan dan ahli berjuta-juta bukan jaminan kemenangan sesebuah parti namun tidak dapat dinafikan struktur parti berkenaan membantu gerak kerja parti.

“Itu logiknya dan Umno berada di kedudukan atas berbanding parti-parti lain,” katanya lagi. – MK

CATEGORIES

COMMENTS