Panas! Kumpulan perniagaan tempelak Ismail Sabri, ramai sangat ketua, huru-hara SOP

Panas! Kumpulan perniagaan tempelak Ismail Sabri, ramai sangat ketua, huru-hara SOP

Kumpulan perniagaan membantah cadangan untuk setiap kementerian membuat SOP sendiri, menyifatkannya akan menimbulkan kekeliruan dan merugikan peniaga walaupun sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.

Mengulas pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengenai perkara itu, mereka berkata faktor utamanya adalah kurang kefahaman, perubahan di saat akhir selain SOP yang diumumkan tanpa amaran awal telah memberikan kesan.

Dalam sidang media semalam, Ismail berkata setiap kementerian akan bertanggungjawab untuk menetapkan SOP untuk sektor-sektor yang berada di bawah bidangnya untuk perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara yang akan bermula hari ini.

Beliau berkata satu set yang standard juga akan tersedia untuk seluruh negara.

Bercakap kepada FMT, Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan Antarabangsa Malaysia Shaun Cheah berkata kelihatan seperti sekatan dibuat dengan tergesa-gesa dan tanpa komunikasi di antara kementerian.

“Penguatkuasa juga akan turun ke lapangan. Mereka akan turut keliru sama seperti perniagaan.

“Kementerian perlu berbincang dengan satu sama lain untuk menyelaraskan dasar mereka, dan kami tidak fikir pihak industri dimaklumkan mengenainya ketika dasar itu dibangunkan,” katanya.

Cheah berkata pengenalan sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE) adalah contoh utama kurangnya rundingan dengan industri. HIDE yang sepatutnya mendorong kepada pematuhan SOP, katanya, kini menjauhkan pelanggan dari lokasi titik panas ramalan.

“HIDE meramalkan lokasi ini sebagai titik panas, tetapi sekarang ia mengubahnya menjadi ‘bandar hantu’.”

Presiden Persatuan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS), Michael Kang bersetuju bahawa kurangnya koordinasi di antara kementerian akan menyebabkan perniagaan berdepan masalah yang sama seperti ketidakpastian masa lalu dan akan memberi kesan buruk kepada peniaga.

“Ia seperti SOP berubah mengikut jam. Sehingga kini, tiada siapa yang tahu SOP mana yang perlu dipatuhi. Peniaga kecil dan perniagaan mikro akan mengalami kerugian besar,” katanya.

Kang berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) seolah kabur dengan cabaran sebenar yang dihadapi PKS di lapangan.

“Saya akan memberitahu perdana menteri untuk menyusun semula MKN sepenuhnya dan memasukkan lebih ramai pakar di sektor swasta,” katanya.

“Kemudian, perlu ada satu set SOP standard yang difahami dan dipatuhi oleh semua berbanding SOP yang berbeza untuk setiap kementerian.”

Katanya tanpa notis awal pelaksanaan PKP yang sewajarnya, PKS dibiarkan tanpa cukup masa untuk berdepan perintah sekatan yang baharu. – FMT

CATEGORIES

COMMENTS