‘Itu bukan pantun saya’, kata Karam Singh Walia

‘Itu bukan pantun saya’, kata Karam Singh Walia

Bekas wartawan penyiaran terkenal TV3, Karam Singh Walia menafikan beliau ‘berpantun’ mengecam pemimpin kerajaan dalam mesej yang tular akhir-akhir ini.

Karam yang sekian lama bersara dari stesen televisyen itu, dikaitkan dengan pantun empat kerat menegur pemimpin bergaji besar tetapi tidak berupaya menjalankan kerja.

“Ramai menghubungi saya bertanyakan mengenai pantun itu yang tular dengan gambar lama saya semasa bekerja di TV3.

“Saya tidak pernah berpantun sebegitu dan tidak tahu pun asal usul pantun itu,” beliau memberitahu FMT.

Bagaimanapun, Karam berkata beliau tidak bercadang mengambil apa-apa tindakan susulan kerana menganggap perkara itu akan diperbesarkan “oleh orang yang mahu menangguk di air keruh,” katanya.

“Mungkin ini taktik sesetengah pihak untuk mencetuskan kemarahan atau provokasi terhadap kerajaan…terpulang, tetapi janganlah jadikan saya mangsa fitnah,” kata beliau.

Pantun itu antara lain, menyebut tentang betapa ‘enak menjadi menteri, gaji banyak” namun menyifatkan kalangan mereka yang menyandang jawatan itu sebagai tidak berkebolehan.

Semasa di TV3, Karam memenangi pelbagai anugerah kewartawanan atas pelbagai laporan eksklusif mengenai isu-isu alam sekitar.

Beliau terkenal dengan gaya laporan uniknya yang akan diakhiri dengan pantun-pantun yang tajam serta mencuit hati.

Gaya laporannya itu membantu melonjakkan populariti siaran berita Buletin Utama TV 3 untuk sekian lama. – FMT

CATEGORIES

COMMENTS