Panas! Kumpulan pemuda bakar suar, bawa sepanduk #KerajaanGagal di Batu Pahat dibayar upah?

Panas! Kumpulan pemuda bakar suar, bawa sepanduk #KerajaanGagal di Batu Pahat dibayar upah?

Sejumlah wang dibayar kepada kumpulan perusuh di Batu Pahat sebagai upah untuk membakar suar dan membeli sepanduk yang tular dalam laman media sosial semalam, menurut keterangan beberapa individu yang ditahan polis terlibat dalam rusuhan tersebut.

Siasatan polis mengenalpasti dalang utama berusia 23 tahun, bernama Muhammad Hafizulhilmi Bin Zailan sebagai penganjur rusuhan semalam yang membekalkan sepanduk dan seorang lagi rakannya, Muhammad Al Azim Bin Abd Rasid, 18, pula menerima wang untuk membeli 30 batang suar di Johor Bahru.

Daripada keterangan Muhammad Hafizulhilmi, rusuhan tersebut dirancang pada malam Aidilfitri dan ditularkan dalam media sosial kerana sesuai pada masanya untuk mendapatkan perhatian orang ramai.

Daripada keterangan beberapa individu yang ditahan polis itu lagi, mereka turut mengakui menerima bayaran dari lelaki tidak dikenali untuk menganjurkan rusuhan tersebut dan kemudiaannya ditularkan dalam laman media sosial.

Bagaimanapun, terdapat juga peserta yang terlibat menyertai rusuhan tersebut atas dasar suka-suka selepas diajak rakan mereka yang lain.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah memberitahu seramai 20 individu sudah ditangkap bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan tersebut.

Katanya, sebelum itu, polis telah dimaklumkan oleh orang awam mengenai penemuan kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ yang digantung di sebuah jejantas di Jalan Parit Raja menuju ke Ayer Hitam pada jam 11.04 pagi semalam.

Awal hari ini, seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Puad Zarkashi mengucapkan tahniah kepada kumpulan yang berhimpun di Parit Raja, Batu Pahat tersebut dan membidas tangkapan yang dibuat oleh pihak polis.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 144/269 KK / 8 Akta Bahan Letupan 1957 / Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342). – AD

CATEGORIES

COMMENTS