Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Ahmad Kamal menafikan spekulasi bahawa dia menjamu selera selama satu jam di sebuah restoran untuk menikmati nasi goreng kambing.
Spekulasi itu tercetus apabila pemilik restoran, Megat D Shahriman memuat naik hantaran di Instagram yang mendakwa Wan Fayhsal meluangkan masa selama satu jam di restorannya.
Menurut Megat, dia dan Wan Fayhsal berbual panjang mengenai kesengsaraan rakyat di Palestin.
Wan Fayhsal memuat naik hantaran di Instagram (ig stories) dengan memuji nasi goreng kambing di restoran tersebut.
Berikutan itu, sesetengah warganet membuat spekulasi dan mempertikaikan masa yang lama diambil untuk menyediakan hidangan tersebut meskipun untuk dibawa pulang.
Ada juga yang meninggalkan kata-kata sarkastik terhadap situasi itu.
“Lepas ni bolehlah kita beli bungkus dekat kedai makan beramai-ramai dan duduk berborak selama sejam. Kalau penguatkuasa datang kita cakap kita take-away dan tengah bincangkan isu Palestin. InsyaAllah lepas. Sumber rujukan, menteri boleh je buat,” ciap pengguna Twitter dengan nama @MrHowitzer.
Pengguna @NazzirHussain pula berkata, “Nasi goreng kambing ke yang singgah makan tu kambing?.”