Pertahankan Kawasan Hutan Kayu Bakau Sungai Betul Bawah – Mujahid

Pertahankan Kawasan Hutan Kayu Bakau Sungai Betul Bawah – Mujahid

Setelah berjumpa dengan para nelayan di Sungai Betul Bawah pada 21 Mei 2021, saya ingin membuat kenyataan dan sikap saya kepada aduan yang dibuat kelmarin.

1. Saya mendapat maklumat bahawa pihak SADC Perak telah meluluskan tanah seluas 200 ekar yang diberikan kepada sebuah Koperasi bermodal RM4000 untuk pembangunan akuakultur. Kelulusan itu bertarikh 1 Nov 2020 manakala Koperasi tersebut didaftarkan pada Jun 2020.

2. Kelulusan ini membimbangkan saya dan nelayan pantai di sana kerana ia boleh menjejaskan pendapatan nelayan dari hutan bakau kawasan tersebut.

3. Dasar Lestari kerajaan Negeri Perak di bawah YAB Menteri Besar yang baru antara lainnya ialah memastikan hutan kayu bakau dipelihara dan dipulihara atas keseimbangan ekosistem dan menjadi penampan semulajadi kepada ancaman tsunami. Kelulusan ini akan menjejaskan segala keperluan untuk memelihara hutan bakau sekelilingnya.

4. Tinjauan saya pada 21 Mei 2021 menunjukkan projek akuakultur sedia ada di kawasan Sungai Betul Bawah sudah mencukupi malah banyak menimbulkan masalah dengan masyarakat nelayan di sana.

Oleh itu di atas dasar mengekalkan hutan kayu bakau yang sudahpun terancam, kelulusan ini perlu dinilai semula dan bantahan penduduk perlu diambil kira kerana terjejasnya kehidupan mereka sejak bergenerasi sebagai nelayan persisiran pantai. Sebagai Ahli Parlimen yang selama ini mempertahankan kelestarian hutan kayu bakau di persisiran Bagan Tiang hingga ke Kuala Gula saya menyeru YAB Menteri Besar selaku Pengerusi SADC dan ahli lembaga pengarah dari Ahli-Ahli Yang Berhornat mengambil tindakan segera atas aduan rakyat di Sungai Betul Bawah ini.

Sekian

Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar

23 Mei 2021

CATEGORIES

COMMENTS