Panas! Netizen dedah majikan enggan patuh SOP, arahan work from home

Panas! Netizen dedah majikan enggan patuh SOP, arahan work from home

“KKM ke bayar gaji bulan-bulan?”

Demikian pendedahan seorang pengguna Twitter akan reaksi diterima daripada majikannya ketika ditanya sama ada beliau boleh bekerja dari rumah setelah kerajaan mengumumkan arahan tersebut bagi mengekang penularan COVID-19.

Sehingga malam tadi, ciapan tersebut telah meraih hampir 20,000 likes dan dikongsi lebih 16.500 kali dengan kebanyakan pengguna lain turut berkongsi pengalaman bagaimana mereka dipaksa majikan untuk tetap hadir ke pejabat meskipun tidak tergolong sebagai sektor perkhidmatan penting.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mengumumkan 80 peratus penjawat awam dan 40 peratus sektor swasta diarahkan bekerja dari rumah mulai 25 Mei dalam usaha meratakan keluk COVID-19.

Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat ini dibuat hampir dua minggu selepas kerajaan mengumumkan PKP 3.0 untuk Semenanjung Malaysia.

Namun, bebenang hantaran Twitter ini menunjukkan banyak syarikat berdepan masalah untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tersebut walaupun ia ternyata amat penting dalam membantu mencegah penularan COVID-19.

Seorang bekas pekerja bank mendedahkan bagaimana beliau dipaksa mengedarkan brosur promosi di kawasan berisiko tinggi COVID-19 semasa PKP.

Dalam hantaran bertarikh 20 Mei tersebut, beliau berkata majikannya turut mengarahkan pekerja supaya menghantar foto mereka ketika sedang bertugas.

“Kami dipaksa untuk edar flyers siap tangkap gambar untuk buat bukti lagi,” jelasnya.

Seorang lagi pengguna Twitter berkongsi majikannya berjanji akan membayar “elaun khas” bagi menarik kakitangan masuk bekerja ketika PKP.

“…lastly ubah statement bahawa setiap pekerja wajib kerja (di pejabat) bila diminta pihak syarikat tanpa mengharapkan balasan,” kata beliau.

Pengguna yang lain pula berkongsi amalan yang lebih membimbangkan, apabila ada rakan sekerjanya tidak mengendahkan SOP walaupun menjadi kontak rapat pesakit COVID-19.

“Partner sorang +ve pastu close contact dgn partner sorang lagi tapi dia tak buat swab dan still dtg offc mcm tak ada benda, staff kerja bergilir2 tapi dah mcm cacing kepanasan takut”.

(Salah seorang pekerja positif COVID-19 tetapi kontak rapatnya tidak membuat ujian saringan dan datang bertugas seperti biasa. Semua pekerja datang bertugas secara bergilir tapi ia mengakibatkan pekerja lain berada dalam ketakutan.)

Dalam hantaran berasingan, seorang pengguna Twitter mendedahkan adiknya didesak untuk tetap masuk ke pejabat walaupun menjadi kontak rapat dua rakan sekerja yang positif COVID-19.

“Dah ramai positif, tapi semua kerja macam biasa. Department adik dua orang dah positif, so adik kena buat swab test je. Kerja kena masuk.” katanya.

Tambahnya lagi, adiknya bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang pengeluaran terkenal.

Bebenang yang dihasilkan hantaran Twitter tersebut membuktikan bahawa ramai pekerja berdepan situasi yang sama.

Beberapa pengguna lain juga mengadu bagaimana mereka dipergunakan majikan yang bukan sekadar memaksa semua pekerja datang ke pejabat ketika PKP, malah turut membayar hanya separuh upah dengan alasan kekurangan pendapatan akibat wabak COVID-19.

Data kes COVID-19 global oleh John Hopkins Center for Systems Science and Engineering menunjukkan pada 21 Mei, Malaysia mengatasi India dalam jumlah kes baharu bagi setiap satu juta orang setiap hari dengan nisbah 200.61 berbanding 186.45 di India.

Saringan terhad bererti jumlah kes sebenar mungkin lebih tinggi dan ini adalah trend yang mencemaskan dan tidak boleh diambil ringan.

Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Dr Syed Hussain Syed Husman berkata adalah wajib bagi majikan sektor swasta memastikan 40 peratus pekerja mereka bekerja dari rumah, sejajar dengan pengumuman terbaharu mengenai sekatan yang lebih ketat,

“Sebarang pelanggaran SOP secara automatik akan menyebabkan kompaun dan/atau perintah untuk berhenti bekerja.

“Sebarang ketidakpatuhan terhadap peraturan kehadiran 60 peratus pada satu-satu masa di tempat kerja dalam tempoh PKP secara automatik mengakibatkan perintah 7 hari berhenti operasi, “katanya kepada Bernama.

Beliau menasihatkan agar majikan mematuhi arahan tersebut kerana kerajaan telah menyatakan dengan jelas bahawa peraturan itu akan dikuatkuasakan dengan ketat dan rayuan tidak akan dilayan.

Syed Hussain juga meminta agar perniagaan segera melakukan penyesuaian yang diperlukan sebelum pelaksanaan SOP pada 25 Mei ini.

“Sekiranya pekerja tidak dapat bekerja dari rumah, mereka perlu berbincang dengan mereka yang terjejas untuk mendapatkan penyelesaian yang sesuai untuk semua pihak, terutama mengenai pembayaran gaji dalam tempoh yang berkaitan,” katanya. – AA

*nama dan akaun Twitter tidak didedahkan bagi melindungi individu terjejas

CATEGORIES

COMMENTS