Panas! Ahmad Maslan terkejut Tajuddin dipecat

Panas! Ahmad Maslan terkejut Tajuddin dipecat

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Ahmad Maslan meluahkan rasa simpati dan terkejut terhadap pemecatan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun menghormati keputusan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz dan berharap apa yang telah berlaku dijadikan iktibar.

“Kita sebagai manusia tiada yang sempurna, saya hormati keputusan Menteri Kewangan, saya cuma nak menyatakan rasa simpati.

“Saya hormati dua tokoh itu, Tajuddin dan Tengku Zafrul. Saya harap perkara ini memberikan kita satu hikmah dan iktibar agar dapat menjadi panduan di masa hadapan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Ahmad berkata, beliau sama sekali tidak menafikan keputusan Tengku Zafrul kerana soal pelantikan mahupun penamatan khidmat di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

“Itu hak Kementerian Kewangan yang melantik beliau dan beliau boleh ditamatkan khidmat oleh menteri kewangan juga.”

Katanya, Tajuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya Umno menerima pemecatan itu dengan reda dan tenang.

“Setakat yang saya baca kenyataan beliau di dalam ‘group’ kami, beliau reda dan kelihatan tidak menyatakan perkara yang tidak baik tentang itu, kelihatan beliau tenang menerimanya. Saya kira itu tanda orang yang banyak pengalaman dalam politik.”

Terdahulu, media melaporkan Tajuddin dipecat sebagai Pengerusi Prasarana, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam surat bertarikh hari ini, Zafrul mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan Tajuddin yang dilantik ke jawatan itu pada 11 Mei 2020.

Pemecatan itu menyusul kemalangan dua tren LRT bertembung berdekatan Stesen KLCC dan Kampung Baru pada malam Isnin lalu yang menyebabkan 213 penumpang cedera, termasuk lebih 60 orang yang dihantar ke hospital.

Tajuddin dikritik dan dihentam warganet, dengan pelbagai pihak menggesa beliau meletak jawatan kerana tidak sensitif dan kurang ajar dalam sidang media semalam.

Ada yang menggambarkan sidang media itu sebagai “bencana” perhubungan awam. – FMT

CATEGORIES

COMMENTS