
Semakin menjadi-jadi, kali ini lelaki mabuk kapak rakan
Gara-gara salah faham, sesi minum arak dua sahabat baik di Kampung Buit Hill, Putatan, di sini kelmarin berakhir dengan pergaduhan, dengan seorang daripada mereka cedera selepas diserang menggunakan kapak.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa yang berusia 31 tahun cedera di tangan dan belakang badan selepas dikapak rakannya sendiri.
Ketua Polis Daerah Penampang, Mohd Haris Ibrahim berkata, sebaik menerima laporan sepasukan anggota dan pegawai polis dikerah ke lokasi kejadian.
Katanya, mangsa yang berlumuran darah diberikan rawatan kecemasan sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH2) untuk rawatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat kesan tetakan di tapak tangan kiri dan bahagian belakang badan.
“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara kedua-dua mereka yang mabuk selepas minum minuman keras,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Haris berkata, polis juga berjaya menahan suspek yang berusia 29 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan dan merampas sebilah kapak yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – FMT