Kes ADUN PN merogol, mahkamah benar mangsa beri keterangan tertutup

Kes ADUN PN merogol, mahkamah benar mangsa beri keterangan tertutup

Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan pada 23 Jun ini sama ada mangsa dalam kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, yang didakwa merogol dan seorang lagi saksi boleh memberi keterangan secara tertutup atau sebaliknya.

Hakim Abdul Wahab Mohamed berkata, mahkamah akan membuat inkuiri terhadap kedua-dua saksi dalam kes itu terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

“Pada 23 Jun iaitu hari pertama sambung bicara, saya akan membuat keputusan sama ada Seksyen 20 Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Seksyen 265A Kanun Aturan Jenayah boleh digunakan atau sebaliknya,” katanya selepas mendengar hujah daripada pihak pendakwaan dan pembelaan melalui aplikasi Zoom hari ini.

Hujahan itu mengenai permohonan pendakwaan supaya dua saksi itu memberi keterangan secara tertutup mengikut Akta Perlindungan Saksi 2009.

Pada 6 April lepas, Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Jamil Aripin Jamil, memaklumkan dua saksi itu merupakan peserta Program Perlindungan Saksi bawah akta berkenaan dan telah menyatakan hasrat mereka untuk memberi keterangan secara tertutup tanpa dilihat tertuduh dan peguam-peguamnya serta enggan identitinya didedahkan.

Terdahulu, peguam Rajpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan memaklumkan bahawa pihaknya bersetuju bahawa mangsa boleh memberi keterangan secara tertutup tanpa ada orang awam dan tertuduh, namun peguam dibenarkan melihat mangsa dan pemeriksaan balas secara kehadiran fizikal dalam kandang saksi di mahkamah.

“Untuk saksi kedua, pihak kami membantah dan beliau tidak patut untuk dilindung langsung dalam mahkamah untuk memberi keterangan sama ada secara video link mahupun in camera (secara tertutup). Beliau patut jadi sebagai saksi biasa, tidak ada sebab munasabah untuk dilindungi,” hujahnya.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fitri Sadarudin yang dibantu Liyana Zawani Mohd Radzi dan Ainul Wardah Shahidan berhujah bahawa isu identiti bukan hanya kepada nama tetapi melibatkan banyak aspek termasuk gangguan emosi serta trauma.

Abdul Wahab menetapkan perbicaraan bersambung pada 23 hingga 25 Jun dan 12 hingga 16 Julai. Sebelum ini mahkamah telah mendengar keterangan beberapa orang saksi pendakwaan pada perbicaraan bermula pada 5 April lepas.

Yong, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya yang merupakan warga Indonesia di kediamannya di Meru Desa Park antara 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen, namun pada 15 Dis 2020 Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan agar kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Yong pertama kali didakwa atas pertuduhan itu di mahkamah sesyen di sini pada 23 Ogos 2019 ketika beliau memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak. – FMT

CATEGORIES

COMMENTS