Pemuda PKR Taiping bantah Iswardy, minta semua hormati YDPA

Pemuda PKR Taiping bantah Iswardy, minta semua hormati YDPA

KENYATAAN MEDIA ANGKATAN MUDA KEADILAN CABANG TAIPING

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Cabang Taiping mengambil maklum tentang penahanan seorang anggota parti yang didakwa melakukan penghinaan terhadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong oleh pihak berkuasa undang-undang.

AMK Cabang Taiping dengan ini mendesak bahawa siasatan yang telus dan meyakinkan dilakukan berkaitan isu tersebut.

AMK Cabang Taiping juga berpendirian mengutuk semua pihak yang cuba memalukan dan menghina institusi Raja di dalam negara ini.

Peranan DYMM Seri Paduka Yang Dipertuan Agong haruslah dimartabat dan diperkasa dengan jiwa sepenuhnya oleh semua rakyat Malaysia.

Peranan institusi Yang Dipertuan Agong dalam pembentukan dan kemerdekaan negara ini amat besar. Keharmonian dan kestabilan serta perpaduan kaum yang begitu baik di negara ini adalah ditunjangi oleh kedaulatan institusi Raja yang telah mendasari bumi ini sejak ribuan tahun yang lalu.

Pelbagai saluran yang boleh digunakan untuk menyalurkan pandangan dan pendapat tentang pelbagai masalah dan ketidakpuasan hati.

Rakyat Malaysia terkenal di seluruh dunia dengan adab sopan dan peri hormat kepada orang luar dan sesama sendiri. Maka, gunakanlah saluran yang betul dan muhibbah bagi tujuan tersebut.

Oleh yang demikian, AMK Cabang Taiping berharap semua rakyat Malaysia menumpukan tumpuan dan usaha untuk menang dalam menurunkan lekuk jangkitan COVID-19 di seluruh negara. Ianya lebih penting untuk memastikan diri kita, keluarga kita serta orang yang kita sayang terus mendapat nikmat kehidupan di dalam negara yang aman dan sejahtera.
Sekian, terima kasih.

RAJA ABDULLAH HAIKAL
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Cabang Taiping
Tarikh: 30 Mei 2021

CATEGORIES

COMMENTS