Logo PRU-15: Pemuda DAP jangan cepat melatah, kata AMK

Logo PRU-15: Pemuda DAP jangan cepat melatah, kata AMK

Merujuk kenyataan media YB Howard Lee, Ketua DAPSY Pusat yang sebulat suara menolak penggunaan logo Keadilan pada PRU15 akan datang dilihat terlalu cepat melatah.

Apa yang diusulkan oleh YB Akmal Nasir bukan omongan kosong yang tidak berasas untuk disampaikan dalam Kongres Nasional Tahunan AMK yang dihadiri oleh semua perwakilan seluruh Malaysia.

Penggunaan logo Keadilan telah terbukti pada PRU14 yang lalu telah memenangkan calon-calon PH (Keadilan, DAP, Amanah & PPBM) sehingga berjaya mengambil alih kerajaan perseketuan dan kerajaan negeri.

Logo Keadilan ini telah memberi kepercayaan kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum untuk satu hati mengundi memenangkan calon-calon PH termasuk YB Howard sendiri sehingga dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri Perak.

Yang memutuskan silaturrahim, mencacatkan persaudaraan dan membunuh kesepakatan antara pendukung PH dan rakyat adalah Ahli Parlimen/Adun yang bertanding dan menang menggunakan logo Keadilan tetapi mengkhianati mandat yang diberikan rakyat dan bersama kerajaan gagal Perikatan Nasional.

Lebih teruk lagi, masih ada dalam kalangan pimpinan PH yang masih lagi berminat mahu berunding dengan mereka yang telah memecahbelahkan kesatuan PH dan menjadi punca kejatuhan kerajaan PH.

Apa yang dicadangkan oleh YB Akmal Nasir bukan untuk kepentingan Keadilan semata-mata tetapi lebih untuk menarik semula keyakinan rakyat bagi memenangkan calon-calon PH.

Jika YB Howard bersungguh ingin memperkuat hubungan parti dalam gabungan PH, janganlah meragui kesetian dan komitmen Keadilan untuk mengembalikan mandat rakyat ini.

Sekian.

Muhamad Alif Asyraf
Exco AMK Malaysia,
Timbalan Ketua AMK Perak

CATEGORIES

COMMENTS