
Panas! Wanita ini pertahan dakwaan nampak Sanusi ‘test drive Raptor’
Seorang wanita yang merakam gambar dan video individu didakwa Menteri Besar Kedah dan dua pembantunya menaiki kereta untuk dipandu uji di Juru Auto City, Sabtu lalu, menjadi sasaran pembuli siber dengan fotonya bersama keluarga, termasuk anak berusia lapan tahun, disebarkan secara meluas di media sosial.
Tetapi, Nini Siron, 36, tetap yakin dan berpegang kepada dakwaan beliau serta suami melihat Muhammad Sanusi Md Noor bersama beberapa individu membawa kereta untuk dipandu uji.
Bagaimanapun, Nini kesal kerana selain dituduh memfitnah Sanusi, warganet sanggup menyebarkan gambarnya, suami, anak dan kakaknya secara meluas di media sosial supaya mereka sekeluarga dikecam kerana catatan Facebooknya itu.
Dakwaan Nini terhadap Sanusi kini disiasat polis untuk memastikan sama ada Menteri Besar itu melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.
Sanusi memberitahu FMT, beliau menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan, tetapi setiausaha politiknya mendakwa Menteri Besar itu menjadi mangsa fitnah.
Afnan Hamimi Taib Azamuddin berkata, Sanusi hanya “pi jengok kereta itu. Bukan pi nak beli”, dan tidak ada sebarang pandu uji kenderaan melibatkan Menteri Besar itu.
Nini bagaimanapun tidak berganjak daripada dakwaannya bahawa Sanusi memang terlibat dalam pandu uji itu dan video diambilnya adalah bukti.
Wanita itu berkata, beliau bukan ahli politik dan kesal apa yang disaksikannya itu dinafikan pihak tertentu sehingga memfitnahnya sekeluarga dengan pelbagai tohmahan dan ugutan di media sosial.
“Saya jarang ‘post’ apa-apa di Facebook. Saya bukan ahli politik, hanya rakyat biasa yang sudah muak dengan ‘lockdown’ berulang kali.
“Saya hanya meluahkan rasa marah kerana melihat orang tertentu jelas melanggar SOP ketika pandemik (Covid-19) mengganas. Ketika semua orang menanti untuk ‘lockdown’ 14 hari berakhir, ada pihak lain bertindak ikut suka hati.
“Itulah sebabnya saya catatkan apa yang saya lihat (di Juru Auto City), (saya hanya) ikut nasihat MKN untuk menjadi mata dan telinga mereka terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang,” katanya kepada FMT.
Nini menafikan tuduhan di media sosial beliau memadamkan catatan dan gambar mengenai “pandu uji” berkenaan daripada Facebooknya.
Sebaliknya, beliau hanya mengehadkan akses catatan dan gambar itu kepada kenalannya, bagi mengekang kecaman bertali arus warganet yang tidak dikenali.
Suami Nini yang bekerja sebagai jurujual kereta, juga terpaksa menyahaktifkan “Facebook Page” yang mempunyai lebih 400 pengikut, selepas nombor telefon bimbit dan gambar pelanggannya tersebar. Telefonnya juga dibanjiri ratusan panggilan kebencian dan “spam” sejak semalam.
