Sindiket pelacuran warga asing guna aplikasi Whatsapp, Wechat, Telegram

Sindiket pelacuran warga asing guna aplikasi Whatsapp, Wechat, Telegram

Kegiatan sindiket yang mempromosikan aktiviti persundalan secara dalam talian terbongkar selepas polis melakukan dua serbuan berasingan, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, pihaknya membuat serbuan di sebuah unit apartmen di Jalan Gombak dan sebuah bilik hotel di Jalan Setapak, jam 10.40 malam.

“Dalam serbuan itu, kami menahan empat individu tempatan termasuk seorang wanita, seorang wanita warga China, dua wanita Vietnam dan seorang wanita Thailand berusia antara 20 hingga 46 tahun.

“Kami turut merampas dua komputer riba, empat komputer, 19 telefon bimbit pelbagai jenama, satu modem, satu Gpon Terminal, satu bil elektrik TNB, satu kad akses, anak kunci dan wang tunai RM1,117 menjadikan jumlah keseluruhan barang dirampas bernilai kira-kira RM50,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saiful Annuar berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai mempromosikan aktiviti pelacuran dalam talian bagi pasaran tempatan dengan menggunakan aplikasi WhatsApp, Wechat dan Telegram.

“Siasatan juga mendapati premis terbabit beroperasi sebagai pusat panggilan dan membayar sewa RM1,500 sebulan bagi setiap unit.

“Setiap pekerja juga dipercayai menerima upah antara RM3,000 hingga RM3,500 sebulan dan hasil kegiatan itu disyaki meraih keuntungan bulanan kira-kira RM100,000,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan akan direman hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan kerana mempromosikan aktiviti persundalan secara dalam talian, Seksyen 372B Kanun Keseksaan iaitu mencari langganan bagi maksud persundalan dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengawal rumah persundalan.

“Selain itu, kes terbabit juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.

“Kami memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak terbabit dengan apa-apa aktiviti pelacuran kerana tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur, pemilik premis, pekerja atau pelanggan dalam usaha memerangi kegiatan pelacuran di Kuala Lumpur.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan jenayah, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Khas 24 Jam JSJ Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 untuk tindakan lanjut,” katanya.

ANTARA wanita warga asing yang dipercayai terbabit dengan kegiatan pelacuran ditahan dalam dua serbuan di Kuala Lumpur, semalam.

2. GAMBAR wanita yang dimuat naik secara dalam talian bagi mempromosikan kegiatan pelacuran.

3. ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan terhadap komputer yang digunakan sindiket berkenaan bagi mempromosikan kegiatan pelacuran.

From: No’Rule

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/06/715226/sindiket-promosi-pelacuran-guna-aplikasi-dalam-talian

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )