Panas! Dewan Tertinggi BN pilih Zambry sebagai Setiausaha Agung baru ganti Ahmad Maslan

Panas! Dewan Tertinggi BN pilih Zambry sebagai Setiausaha Agung baru ganti Ahmad Maslan

Dewan Tertinggi Barisan Nasional malam ini telah memutuskan untuk memilih bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang baharu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melalui kenyataan media malam ini, susulan mesyuarat secara maya, yang dihadiri kesemua empat parti komponen – UMNO, MCA, MIC, dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

“Mesyuarat Dewan Tertinggi BN sebulat suara bersetuju melantik YB Datuk Seri Diraja Zambry Abdul Kadir sebagai Setiausaha Agung yang baharu.

“Dewan Tertinggi BN juga sebulat suara bersetuju melantik YAB Datuk Seri Azlan Man (Menteri Besar Perlis) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan BN Perlis yang baharu,” katanya lagi.

Pada 5 Januari lepas, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan memberitahu media beliau telah dipilih Ahmad Zahid sebagai Setiausaha Agung BN yang baharu, menggantikan Tan Sri Annuar Musa.

Bagaimanapun, pada bulan Mac, beberapa pemimpin kanan BN terutamanya dari MCA dan MIC, mendakwa pelantikan itu tidak sah kerana ia perlu mendapatkan persetujuan bersama Dewan Tertinggi terlebih dahulu.

Laporan media sebelum ini menyebut Annuar digantikan selepas Ahli Parlimen Ketereh itu dilihat tidak sealiran dengan konsep dan gerak kerja politik yang dibawa oleh majoriti pemimpin dalam UMNO, termasuk Ahmad Zahid sendiri.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Ahmad Zahid berkata, Dewan Tertinggi BN juga memutuskan untuk menambah kekuatan jentera parti di peringkat negeri bagi membantu usaha pendaftaran vaksin, khususnya bagi warga emas, orang kurang upaya, dan mereka yang tinggal di kawasan pendalaman.

Selain itu, beliau berkata, Dewan Tertinggi BN juga menyeru semua pihak untuk mematuhi prosedur operasi standard bagi mengawal penularan COVID-19 yang sangat membimbangkan ketika ini.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-politik/dewan-tertinggi-bn-pilih-zambry-sebagai-setiausaha-agung-baharu-302248

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (1)
  • comment-avatar

    This was great! I would like you to clean up all this spam though

  • Disqus ( )