Terkini! Anwar masuk istana, Muhyiddin baru keluar

Terkini! Anwar masuk istana, Muhyiddin baru keluar

Sejurus selepas 10.30 pagi Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim tiba untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenderaan Jaguar hitam membawa ahli parlimen Port Dickson itu melepasi pintu kedua Istana Negara pada jam 10.37 pagi

Presiden PKR itu merupakan pemimpin politik kedua yang menghadap Agong hari ini selepas terdahulu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin selesai menghadap baginda pada kira-kira jam 9 pagi.

Muhyiddin beredar meninggalkan pekarangan Istana Negara selepas menghadap Al-Sultan Shah selama kira-kira sejam.

Perdana Menteri memasuki pekarangan istana dengan menaiki kenderaan rasmi kira-kira jam pada 7.50 pagi tadi.

Setelah lebih sejam berada dalam Istana Negara Muhyiddin dilihat meninggalkan kawasan berkenaan menaiki kenderaan rasmi serta pengiring pada jam 8.56 pagi melalui pintu satu.

Namun untuk rekod pada keadaan biasa memang menjadi kelaziman untuk Muhyiddin selaku perdana menteri akan menghadap Agong sebelum presiden Bersatu itu mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet pada setiap Rabu.

Namun kemunculan Muhyiddin pada hari ini menarik perhatian ramai kerana Al-Sultan Abdullah dijadual menerima menghadap ketua-ketua parti politik negara secara bergilir-gilir mulai hari ini.

Sementara itu Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke mengesahkan pemimpin parti itu akan menghadap Agong petang ini.

Katanya DAP akan diwakili Lim Guan Eng selaku setiausaha agung parti.

“Majlis menghadap tersebut dijadualkan berlangsung pada petang 9 Jun di Istana Negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan seorang lagi pemimpin parti politik yang akan diterima menghadap Al-Sultan Abdullah ialah Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun sumber yang bercakap dengan Malaysiakini enggan mendedahkan butiran lebih lanjut mengenai pertemuan tersebut. Difahamkan pertemuan berkenaan akan berlangsung pada pagi ini.

Menurut sumber itu, antara isu yang akan dibincangkan ialah situasi semasa wabak Covid-19 dan pelaksanaan darurat negara.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/578150

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )