
Isu bantuan PKPD: MB Perak kata tidak timbul soal pilih kasih
Tindakan segelintir pihak yang mendakwa bantuan keperluan harian di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) di Ipoh hanya tertumpu kepada Ketua Bahagian dan Ketua Cawangan UMNO, disifatkan sebagai satu lagi provokasi politik.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menegaskan tidak timbul soal Menteri Besar Perak atau Menteri Besar UMNO seperti yang tular diperkatakan di media sosial baru-baru ini, memandangkan peruntukan disalurkan kepada pihak yang memerlukan tidak kira kerajaan atau pembangkang.
Ujarnya lagi, keutamaan penyaluran bantuan PKPD di tiga kawasan iaitu Kampung Datuk Ahmad Said, Kampung Sungai Tapah dan Kampung Jelapang Baru di sini, diberikan kepada mereka yang tidak berkemampuan.
Bagaimanapun katanya, keperluan bagi mereka yang bergaji tetap atau berkemampuan tidak diabaikan memandangkan pihaknya telah memberi peluang untuk mereka keluar membeli barangan keperluan baru-baru ini.
“Soal pilih kasih ini tidak timbul, keutamaan kepada orang yang benar benar terkesan, di tiga kawasan PKPD ini terdapat kira-kira 2,000 rumah yang membabitkan 3,000 keluarga.
“Di situ ada kakitangan kerajaan yang bergaji tetap dan ada yang sudah pencen, ada juga orang yang pendapatannya bergantung kepada kerja harian.
“Dia mungkin peniaga pasar malam, berniaga burger. Mereka ini yang terkesan secara langsung apabila kita lockdown, mereka tidak boleh berniaga, pendapat langsung tiada. Mereka ini keutamaan kita.
“Tapi situasi bagi yang bergaji tetap, mereka ada wang untuk beli. Saya dengar masalah mereka ialah kedai runcit tidak dibuka. Kita sudah beri ruang pada hari kedua (PKPD) supaya kedai dibuka termasuk pasar raya Mydin untuk membolehkan mereka beli barang keperluan,” katanya.
Saarani berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Politeknik Sultan Azlan Shah, di sini pada Rabu.
Katanya lagi, tidak timbul soal pilih kasih sebagaimana yang didakwa pihak tertentu.
“Tolonglah, jangan menjadikan keadaan lebih rumit. Cuma saya mengaku ada orang yang merasakan bahawa mereka tidak mendapat perhatian sebab katanya saya berikan bantuan kepada yang terjejas secara langsung.
“Betul, sebab mereka ini bila lockdown sahaja memang terkesan secara langsung, kalau ada isu ada dikatakan sampai 48 jam tidak makan, tolong maklumkan secepat mungkin siapa orang itu,” katanya lagi.
Terdahulu, sebuah portal di sini melaporkan bantuan yang disalurkan hanya tertumpu kepada Ketua Bahagian dan Ketua Cawangan UMNO semata-mata yang mengagihkan kepada ahli mereka.
Dakwa portal itu lagi, ada beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan Menteri Besar Perak yang hanya datang untuk bergambar dan memuat naik ke dalam media sosial untuk perjalanan politik beliau.
Perkara itu katanya membuatkan penduduk setempat tidak berpuas hati di mana ianya bukan soal ada wang atau tidak, akan tetapi akses untuk membeli barang keperluan hidup itu terbatas.