Mat Sabu rayu Agong guna kuasa Baginda buka semula Parlimen

Mat Sabu rayu Agong guna kuasa Baginda buka semula Parlimen

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggunakan kuasa Seri Paduka Baginda agar Parlimen dapat bersidang segera.

Beliau berkata, hasrat tersebut disampaikan menerusi sembah menghadap yang berlangsung selama sejam pada Rabu.

“Saya telah meminta agar Parlimen dapat dibuka semula dan boleh bersidang seperti di United Kingdom (UK). Di sana, ketika pandemik Covid-19 sedang teruk, lebih kerap Parlimen bersidang kerana rakyat nak tahu apa kemajuan kerajaan.

“Bukan macam kita (Malaysia), kes Covid-19 teruk, tapi Parlimen tutup,” katanya ketika ditemui pemberita selepas keluar dari Istana Negara di sini pada Rabu.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, sepanjang sesi sembah menghadap itu, semua hasrat parti dan rakyat telah disampaikan.

Bagaimanapun katanya, terpulang kepada budi bicara dan kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah untuk bertindak.

Menurutnya, Seri Paduka Baginda mendengar dengan teliti segala hujah yang disampaikan.

“Saya beritahu yang rakyat sekarang sudah sampai ke peringkat mengambil makanan di pusat khidmat wakil rakyat kerana mereka tidak ada pendapatan.

“Pemandu Grab juga tidak ada penumpang, bagaimana mereka mahu makan. Masalah rakyat adalah serius, bukan main-main,” katanya.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/143212/BERITA/Nasional/Amanah-rayu-Agong-guna-kuasa-buka-semula-Parlimen

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )