Pemimpin Pas kata peneroka Felda dan pekebun kecil menipu

Pemimpin Pas kata peneroka Felda dan pekebun kecil menipu

Dakwaan pekebun kecil atau peneroka FELDA bahawa mereka tidak memperolehi sebarang keuntungan dengan kenaikan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) yang berlaku ketika ini adalah tidak benar.

Menurut Panel Pemikir Strategik Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Bakri Jamaluddin, kos pengeluaran tandan sawit (ex estate cost) untuk sesebuah syarikat perladangan besar adalah sekitar RM250 hingga RM300 bagi setiap satu tan Tandan Buah Segar (TBS).

Manakala kos pengeluaran tandan sawit bagi pekebun kecil sawit sedikit tinggi, iaitu antara RM300 ke RM380 bagi setiap tan TBS dan jumlah itu sudah mengambil kira kos pemeliharaan, penuaian dan pengangkutan.

“Harga TBS hari ini adalah antara RM800 ke RM1,000 bergantung kepada kawasan (region) dan kadar perahan minyak sawit (OER).

“Jumlah pengeluaran bagi seseorang pekebun kecil juga bergantung kepada keluasan kebun yang mereka milik, umur pokok sawit dan jenis tanah.

“Sekiranya seorang pekebun kecil dapat mengeluarkan sekitar lapan tan buah sawit bererti hasil jualannya adalah RM6,400 (8 tan x RM800), kos pengeluarannya pula adalah RM3,040 (RM380 x 8 tan), jadi pendapatan kasarnya ialah RM3,360 (RM6,400 hingga RM3,040).

“Hasil jualan ini adalah lebih baik berbanding jika harga TBS di paras RM350 ke RM450 satu tan pada tahun 2018 di mana pekebun kecil hanya akan mendapat sekitar RM300 ke RM800 sahaja secara kasar dengan purata pengeluaran lapan tan buah sawit sebulan bagi setiap hektar.

“Sebab itu ketika harga CPO (Minyak Sawit Mentah) di paras RM2,000 ke RM2,200 satu tan, ramai pekebun kecil mengeluh kerana harga TBS waktu itu adalah sekitar RM350 hingga RM450 sahaja. Dan tidak berbaloi,” ujarnya.

Penjelasan itu kata Bakri membuktikan bahawa dakwaaan pekebun kecil sawit dan peneroka FELDA bahawa mereka tidak memperolehi apa-apa keuntungan dengan kenaikan harga MSM haru ini adalah tidak benar.

Tambah Bakri lagi, berdasarkan 34 tahun pengalaman dalam industri sawit, beliau telah melalui turun naik harga sawit yang telah sebati dalam kehidupan seorang ‘planter’ (pengurus ladang).

“Strategi dan perancangan operasi sesebuah ladang sawit dan getah sedikit sebanyak dipengaruhi oleh turun naik harga komoditi dan kekuatan kewangan sesebuah syarikat.

“Saya akui dari tahun 1985 saya menceburi sektor perladangan, kali iniĺah harga komoditi minyak sawit berada pada paras paling tinggi,” ujar beliau.

Kerana itu beliau melahirkan keyakinan bahawa pekebun kecil yang berjumlah 650,000 orang dan peneroka FELDA seramai 112,000 orang dapat menikmati Sawit Anugerah Tuhan dengan harga MSM di paras melebihi RM3,000 bagi satu tan.

“Dan kalau diambil kira ahli keluarga dan mereka yang terlibat di dalam industri sawit ini sudah pasti sekitar tiga juta orang sedang menikmati anugerah Allah kepada mereka iaitu kelapa sawit,” ujar beliau lagi.

Bakri yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Melaka menyatakan perkara ini di dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau, semalam.

Sumber: https://harakahdaily.net/index.php/2021/06/09/minyak-sawit-dakwaan-pekebun-kecil-tidak-benar/?utm_campaign=06-09-21+-+Dakwaaan+pekebu&utm_source=Message&utm_medium=Facebook

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )