Saarani arah SADC, pengusaha ternakan udang beri penjelasan projek di Kuala Bagan Tiang

Saarani arah SADC, pengusaha ternakan udang beri penjelasan projek di Kuala Bagan Tiang

Pihak pengurusan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan pengusaha ternakan udang di Kuala Bagan Tiang akan dipanggil memberi penjelasan berhubung dakwaan projek itu memusnahkan hutan paya bakau dan menjejaskan sumber pendapatan nelayan.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri memerlukan penjelasan lanjut dan hasil perbincangan kelak akan menentukan keputusan yang bakal diambil dalam mencari penyelesaian berhubung isu terbabit.

“Saya ada membaca laporan akhbar dan pastinya saya akan panggil pengurusan SADC untuk melihat balik perkara itu, siapa pemilik tanah, bila ia diluluskan, kepada siapa dan status pengusaha.

“Itu semua kita kena bincang dan buat sebaik-baiknya mengikut aspek perundangan.

“Kita kena ambil kira semua faktor termasuk dari sudut nelayan, SADC dan juga pengusaha akuakultur,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan dan melawat pusat pemberian vaksin pandu lalu di Stadium Indera Mulia hari ini.

Saarani mengulas kenyataan Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa semalam yang mendakwa pelaksanaan projek akuakultur ternakan udang dalam kolam di kawasan tersebut akan memusnahkan hutan paya bakau dan menjejaskan sumber pendapatan nelayan.

Mujahid mendakwa sekiranya diluluskan, projek kolam udang itu akan menjejaskan pendapatan nelayan di situ yang sudahpun terkesan oleh penularan Covid-19, selain penduduk kampung juga terdedah kepada air pasang yang melimpahi kawasan perumahan berdekatan jika ketiadaan hutan kayu bakau.

Beliau juga mendakwa kawasan berkeluasan 19.02 hektar itu telah diluluskan SADC bagi projek terbabit dan bantahan penduduk kampung mengenai projek sedia ada di Sungai Kota, Tanjong Piandang, Kerian tidak diendahkan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Sementara itu, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Razman Zakaria berkata tanah tersebut adalah milik kerajaan yang telah diserahkan kepada SADC, masing-masing seluas 19.02 hektar dan 80.9 hektar, untuk dimajukan pada 2015.

“Namun sekiranya berlaku ketidakseimbangan ekosistem kepada alam sekitar dan pendapatan nelayan terjejas, kerajaan negeri akan melakukan kajian semula bagi menjaga kepentingan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/578428

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )