Peguam ini jelaskan mengapa darurat perlu ditamatkan dan Parlimen dibuka berdasarkan prinsip demokrasi

Peguam ini jelaskan mengapa darurat perlu ditamatkan dan Parlimen dibuka berdasarkan prinsip demokrasi

1. PH membuat kenyataan pada 11.6.2021 untuk menolak Mageran 2.0 dan menyatakan pendirian Darurat perlu ditamatkan segera dan Parlimen perlu dibuka berdasarkan prinsip demokrasi.

2. Prinsip Demokrasi Berparlimen adalah tiang seri Perlembagaan Persekutuan. Ini juga yang disebutkan oleh penggubal Perlembagaan pada tahun 1956 dahulu. Pada masa yang sama penggubal Perlembagaan juga memasukkan Perkara 150 yang berkaitan darurat. Penegasan juga dibuat bahawa darurat ini adalah hanya perlu digunakan dalam keadaan yang benar-benar mendesak.

3. Apakah keadaan yang benar-benar mendesak itu tidak diberikan definisi dan bergantung kepada keadaan semasa. Pada tahun 1969, peristiwa 13 Mei dianggap sebagai keadaan yang mendesak. Isu Stephen Kalong Ningkan di Sarawak dahulu pun dianggap sebagai keadaan mendesak. Isu Dato Mohamad Nasir, Menteri Besar Kelantan dahulu pun dianggap mendesak. Bagi sesetengah orang politik masih berpendapat bahawa ketiga-tiga insiden itu bukanlah keadaan yang mendesak kerana di akhirnya parti yang memerintah di peringkat Persekutuan memperolehi laba yang besar sesudah darurat ditamatkan.

4. Keadaan yang sama juga berlaku pada darurat 2021 ini kerana selain isu Covid-19 wujud juga isu keabsahan sama ada kerajaan PN sekarang ini masih mempunyai majoriti sokongan ahli dewan atau pun tidak.

5. Pada awal-awal darurat diisytiharkan dahulu pada awal tahun lagi ramai yang tidak percaya darurat boleh mengekang Covid-19. Hal itu ternyata benar kerana selepas darurat diisytiharkan kes Covid-19 terus memuncak dan tidak berkurangan. Rakyat hidup dengan PKP, PKPB, PKPD dan PKP semula. Tidak mudah bagi rakyat untuk hidup dalam keadaan begini dan dihalang untuk bekerja dan untuk berbuat aktiviti budaya, sosial serta ekonomi. Walaupun ada ahli ekonomi yang membuat unjuran ekonomi Malaysia akan bertambah baik tetapi poket rakyat tidak mampu untuk menipu diri mereka sendiri. Pihak swasta khasnya peniaga kecil, pekerja bergaji hari dan majikan yang mempunyai pekerja hampir tidak mampu lagi menanggung kos perniagaan seperti sewa premis dan gaji pekerja. Bagi pekerja sektor kerajaan mungkin tidak berasa kesulitan ini sehinggalah kelak gaji mereka akan dipotong. Pihak pelabur pun makin hari makin ramai yang telah meninggalkan bumi Malaysia.

6. Sebaliknya, rakyat melihat lockdown PKP yang pertama pada bulan Mac, 2020 lebih berkesan padahal pada waktu itu belum ada pun darurat diisytiharkan. Pada waktu itu, rakyat kurang terbeban kerana adanya moratorium dan bantuan skim gaji pekerja.

7. Apabila hashtag #KerajaanGagal mula berlegar di twitter orang masih menganggapnya sebagai hasutmaya oleh netizen semata-mata. Tetapi semakin berlalunya siang dan malam semakin hari ke hari rakyat sudah semakin hadam dan faham dengan maksud kalimat itu. Kalimat itu tidak lagi menjadi hasutmaya bahkan sudah menjadi hakikat yang nyata.

8. Pokok sebenarnya #KerajaanGagal itu berpunca daripada kelemahan kerajaan sendiri. Pelbagai SOP diperkenalkan tetapi SOP yang sama telah dilanggar oleh pihak yang mempunyai kuasa sehingga timbul isu perlaksanaan SOP 2 darjat. Menteri Agama sendiri misalnya entah sudah kali ke berapa telah dikompaun kerana melanggar SOP. Rakyat pula dalam keadaan sengsara untuk mencari makan dan telah diugut pula dengan jumlah kompaun yang asalnya maksima RM1000 kepada jumlah sehingga RM50,000. Beberapa hari lepas tular berita ada rakyat yang didenda kerana tidak mengemaskini status profail MySejahtera. Selang beberapa jam dikhabarkan pula polis telah tersilap memahami SOP dan kompaun itu telah dibatalkan. Sudahlah proses untuk mengemaskini MySejahtera itu pun sulit. Tidakkah pihak berkuasa boleh merekacipta aplikasi MySejahtera yang lebih mesra pengguna? Memang gilalah jadinya rakyat ditekan sebegitu rupa.

9. Jadi, bolehkah darurat ditamatkan sekarang dan kerajaan sivil dikembalikan seperti sedia ada? Jika darurat ini dibuat pada Mac, 2020 barangkali kita tidak ada was-was untuk darurat ditamatkan. Tetapi dalam keadaan sekarang kita menjadi was-was kerana jumlah pesakit Covid-19 yang tinggi dan penamatan darurat ini boleh membawa kepada risiko pertambahan pesakit. Ini kerana negeri Sarawak misalnya perlu diadakan pilihan raya negeri segera dan pengalaman pilihan raya negeri Sabah tempohari telah menyebabkan wujudnya kluster-kluster baharu.

10. Apakah solusinya selain Mageran 2.0? Barangkali solusi lain adalah dengan mewujudkan gencatan politik dan menubuhkan satu kerajaan baharu memandangkan rakyat sudah hilang keyakinan dengan prestasi kerajaan PN sekarang. Tatkala Menteri Pertahanan mengumumkan total lockdown Menteri MITI pula membuka sektor ekonomi sehingga ada yang mengatakan pintu depan telah ditutup tetapi ada pula pintu belakang dibuka. Kerajaan PN sekarang pun tidak mampu untuk mengarahkan bank untuk memberikan moratorium walaupun mempunyai kuasa darurat.

11. Ketidaksepaduan antara menteri-menteri adalah bala yang besar dalam konteks demokrasi dan prinsip kabinet. Seharusnya para menteri perlu berpegang teguh dengan prinsip collective responsibility. Malangnya ini tidak berlaku. Para menteri seolah-olahnya tidak membuat pelarasan sesama mereka dan hanya menjaga kementerian masing-masing. Bayangkan jika seorang Menteri berbangga dengan kenaikan harga sawit tetapi seorang Menteri lagi terkial-kial menjawab isu kenaikan harga runcit minyak sawit bertapis. Seorang menteri mengumumkan PKP pada hari ini manakala selepas 2-3 hari baharulah menteri lain mengumumkan SOP masing-masing. Itu belum lagi disentuh isu vaksinisasi. Jika dalam darurat pun tidak mampu mengerahkan pemberian vaksin apatah lagi dalam keadaan tidak darurat.

12. Justeru, jika sekali pun Parlimen dibuka tetapi kemudinya tetap sama maka hasilnya tetap sama. YDPA perlu berfikir dengan mendalam hal ini dan tidak membuat perkara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza. Mungkin pilihan yang ada adalah untuk menamatkan darurat di peringkat Persekutuan tetapi di negeri yang perlu membuat pilihan raya masih perlu diteruskan darurat itu untuk menghalang daripada berlakunya pilihan raya. Pilihan lain adalah mereformasi proses pilihan raya untuk mengetatkan SOP kempen pilihan raya dan membuat arahan supaya tiada mana-mana orang dari negeri lain boleh memasuki kawasan pilihan raya tersebut.

Dr Zulqarnain Lukman
12/6/2021

Sumber: https://www.facebook.com/1440900983/posts/10227417960341629/?d=n

CATEGORIES

COMMENTS