Kelulusan tanah untuk kolam udang, MDK digesa bertindak – Nakhaie

Kelulusan tanah untuk kolam udang, MDK digesa bertindak – Nakhaie

Majlis Daerah Kerian (MDK) diminta mempertahankan tanah seluas 200 ekar di Sungai Betul Bawah dan 47 ekar di Kuala Bagan Tiang yang termasuk dalam zon sebagai HUTAN yang tidak boleh dicerobohi oleh pembangunan.

Ketua Pemuda AMANAH Parit Buntar, Muhamad Nakhaie Abd Wahab berkata, tanah yang diluluskan oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) untuk disewa bagi tujuan kolam udang adalah zon Hutan Kayu Bakau yang diperlukan untuk tujuan mengekalkan eko-sistem dan sebagai penampan semulajadi dari ribut dan ancaman tsunami.

“Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035 telah mengekalkan zon tersebut sebagai HUTAN yang tidak boleh dicerobohi oleh pembangunan.

“Merujuk kepada Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2020 dan yang paling terkini 2035 yang telah digazetkan pada 4 Februari 2021 (No Warta : 310), kawasan yang diambil alih oleh SADC sekitar Sungai Kota, Kuala Bagan Tiang dan Sungai Betul telah diletakkan bawah zon HUTAN dilabelkan warna hijau tua” Katanya ketika ditemui di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang.

Menurutnya, MDK sepatutnya membincangkan perkara ini sebagai isu yang serius kerana kelulusan tanah oleh SADC untuk tujuan kolam udang menyalahi Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035 di bawah MDK.

“Setakat ini tiada kenyataan daripada MDK berkenaan isu ini, sedangkan berlaku pelanggaran Akta Perancangan Desa dan Bandar 1972.

“Sebarang pertukaran zon terikat dengan Akta 172 yang sama dengan pihak SADC perlu membuat alasan permohonan pertukaran zon dan perlu mengadakan pendengaran awam untuk bantahan”katanya.

Muhamad Nakhaie berharap Ahli Majlis yang dilantik bagi membantu PBT di dalam membuat dasar, merancang dan mengawasi pelaksanaan program pembangunan membawa isu ini ke dalam Mesyuarat penuh MDK.

”Saya menganggap pembangunan di kawasan dizonkan sebagai HUTAN adalah pencerobohan kepada kepentingan alam sekitar yang sudah pun terjejas.

“Saya sangat berharap pihak MDK untuk melihat isu ini sebagai isu yang serius bersesuaian dengan Dasar Perak bumi lestari yang dibawa oleh Kerajaan Negeri Perak” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS