
Panas! Pemuda AMANAH bidas Takiyuddin, jangan derhaka pada YDP Agong
Buka Parlimen Segera : Setiausaha Pas Jangan Derhaka YDP Agong
Pemuda AMANAH Perak merafak sembah setinggi-tinggi kesyukuran dengan kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan perbincangan khas Raja-raja Melayu pada 16 Jun 2021 (Rabu).
Keprihatinan Tuanku terhadap masalah semasa negara (COVID 19 dan kestabilan politik) telah dizahirkan melalui pandangan Baginda dan keputusan mesyuarat majlis raja-raja bahawa persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin. Ini membolehkan ordinan-ordinan darurat dan pelan pemulihan negara dibahaskan oleh ahli-ahli dewan rakyat.
Namun kebijaksanaan Baginda Tuanku dan keputusan mesyuarat Majlis Raja-Raja ini telah dicabar oleh Menteri Undang-undang Malaysia, Datuk Seri Takiyuddin yang kononnya mendakwa cadangan Perdana Menteri bahawa parlimen boleh bersidang sekitar September atau Oktober (3 bulan) juga bertepatan dengan saranan ‘secepat mungkin’ yang dizahirkan Al Sultan Abdullah.
Alasan Datuk Seri Takiyudin bahawa kenyataan YDPA tidak menitahkan supaya persidangan parlimen perlu diadakan bulan tertentu, sebaliknya secepat mungkin juga dilihat sebagai mempersendakan YDPA dan Raja-Raja Melayu
Pemuda AMANAH Perak menegaskan, jangan bertindak diluar batasan sebagai seorang rakyat terhadap rajanya yang selama ini menjadi naungan kepada seluruh rakyat jelata sehingga sanggup menderhaka kepada YDPA.
Menjunjung kasih Tuanku.
Muhamad Nakhaie Abd Wahab
Naib Ketua Pemuda AMANAH Perak
Ketua Pemuda Amanah Parit Buntar
17 JUN 2021