Panas! Rafidah hentam Azmin, angka tidak menipu, kluster tempat kerja penyumbang terbesar kes Covid-19

Panas! Rafidah hentam Azmin, angka tidak menipu, kluster tempat kerja penyumbang terbesar kes Covid-19

Rafidah Aziz menghentam Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali berhubung kenyataannya bahawa kilang tidak patut dipersalahkan atas peningkatan kluster Covid-19 di tempat kerja.

Rafidah, yang menerajui kementerian berkenaan selama dua dekad, berkata statistik kerajaan sendiri menunjukkan bahawa sektor pembuatan menyumbang 48% daripada kes kluster.

Ini bukan “permainan” tuduh-menuduh, katanya dalam catatan di Facebook hari ini, sambil menambah, sekecil-kecil perniagaan sehingga sebesar-besarnya sedang menderita.

“Dan (angka) jangkitan terus membimbangkan,” katanya.

Pada Isnin, Azmin menolak dakwaan bahawa sektor pembuatan dan perkilangan adalah penyumbang terbesar jumlah kes Covid-19 yang tinggi ketika ini.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM), katanya, kes Covid-19 yang membabitkan sektor pembuatan dan perkilangan hanya sekitar 5% hingga 10%.

“Jadi, tidak benar untuk meletakkan kesalahan kepada sektor ekonomi, khususnya sektor pembuatan,” katanya mengulas desakan supaya kilang ditutup susulan jangkitan Covid-19 masih tinggi walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan sejak 1 Jun lalu.

Bagaimanapun, dua hari lalu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa sektor pembuatan adalah penyumbang utama kluster Covid-19.

“Bila kita bincang dan tengok data saintifik, kebanyakannya bermula dari kluster hostel pekerja, perkilangan dan perniagaan,” katanya.

Rafidah menyeru agar kerajaan menyemak semula beberapa peraturan yang ditetapkan bagi industri ini untuk mengelakkan bukan sahaja larangan beroperasi tetapi juga kemungkinan kontrak mereka sebagai pembekal ditamatkan.

Ada kilang-kilang yang mengeluarkan hasil untuk pasaran eksport diarahkan tutup, katanya, sambil memberi amaran bahawa syarikat-syarikat tempatan boleh terus kehilangan pasaran luar negara mereka.

Rafidah berkata, kerajaan boleh mewajibkan syarikat-syarikat ini untuk mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dari segi pekerja dan penjagaan kesihatan, selain memvaksinasi tenaga kerja.

“Semestinya memperhalusi peraturan sekatan ini tidak akan memberi kesan negatif terhadap eksport, syarikat, dan pekerjaan Malaysia,” katanya.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/03/angka-tak-menipu-rafidah-beritahu-azmin-berhubung-kluster-tempat-kerja/?fbclid=IwAR3THPsNiagnNU190ul93VIgMVEqgnw3MbiIpFxCc28GXBeJoX3KcO1ALbc

CATEGORIES

COMMENTS