Dapat restu PM tanding di Bagan Serai: Pegawai Noor Azmi kata Wan Fayhsal bohong

Dapat restu PM tanding di Bagan Serai: Pegawai Noor Azmi kata Wan Fayhsal bohong

Dakwaan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal beliau merupakan calon Parlimen Bagan Serai dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mungkin tidak mewakili pucuk kepimpinan tertinggi parti.

Setiausaha Sulit kepada Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali, Norazman Ghazali berkata, ini kerana beliau difahamkan parti belum membincangkan soal calon untuk PRU-15.

Menurutnya, sebaliknya kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahu menumpukan usaha melawan wabak Covid-19.

“Berdasarkan sumber yang boleh dipercayai memberitahu soal pemilihan calon tidak dibincangkan.

“Pendirian kerajaan ialah fokus kepada wabak Covid-19 dahulu, masalah ekonomi, masalah nyawa manusia dan kita tak bincang tentang pilihan raya umum, kalau masa ini bincang soal calon, beratlah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Norazman yang juga Pengarah Strategi Politik Noor Azmi berkata, Ahli Parlimen Bagan Serai itu sendiri tidak pernah menyebut soal calon di kerusi berkenaan.

“Adalah jelas soal calon bukan perbincangan utama malah kita faham PN menumpukan soal persidangan Parlimen dan sebagainya, calon bukan menjadi topik utama,” katanya.

Akhbar ini menerusi berita dalam talian hari ini menyiarkan dakwaan Wan Ahmad Fayhsal akan bertanding di Parlimen Bagan Serai dalam PRU-15.

Keputusan itu dikatakan sudah mendapat restu daripada semua peringkat parti termasuk Presiden selepas dilamar oleh Bersatu Bahagian Bagan Serai untuk untuk mewakili Perikatan Nasional (PN) di kerusi tersebut.

Namun, keputusan itu dikatakan belum dibuat secara rasmi oleh parti.

Wan Ahmad Fayhsal kemudiannya menafikan laporan tersebut dalam laman Twitternya dengan menyatakan setakat ini, belum ada keputusan dibuat berhubung mana-mana calon dan kerusi yang akan ditanding parti itu dalam PRU-15.

“Laporan yang disebarkan hari ini adalah tidak benar. Pihak parti di mana-mana peringkat tidak pernah membuat apa-apa keputusan berkenaan mana-mana kerusi.

“Khidmat kepada rakyat tetap menjadi keutamaan seluruh jentera parti dalam jayakan Pelan Pemulihan Negara,” katanya.

Sumber: https://www.utusan.com.my/terkini/2021/07/dakwaan-wan-ahmad-fayhsal-tidak-wakili-parti/

CATEGORIES

COMMENTS