Kisah Benar: 7 beranak berhimpit tidur dalam kereta

Kisah Benar: 7 beranak berhimpit tidur dalam kereta

Tujuh beranak yang ditemui di Taman Mawar Lestari, Selama di sini, terpaksa menjalani kehidupan ala nomad dengan bermalam dan berhimpit dalam Proton Wira sepanjang tiga hari.

Saliza Samat, 38, serta suami, Mohd Hazrul Haris, 43, menjadikan kereta berkenaan sebagai tempat tinggal sementara bersama lima anak mereka berusia dua tahun hingga 15 tahun.

Saliza berkata, keadaan lebih sukar apabila Mohd Hazrul yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori tidak bekerja sejak dua tahun lalu berikutan kecacatan fizikal dan mental dialami manakala dia pula hanya suri rumah.

Katanya, semuanya bermula apabila mereka sekeluarga yang sebelum ini menetap di Kuala Selangor, Selangor nekad berhijrah ke kampung halaman Mohd Hazrul di Ulu Mengkuang di sini, sejak setahun lalu.

“Namun kami kemudiannya keluar daripada rumah keluarga demi kebaikan semua.

“Kami keluar dari rumah itu Khamis lalu. Sejak itu, kami tujuh beranak bermalam dalam kereta selain menjadikan sungai serta stesen minyak sebagai lokasi untuk kami mandi, solat dan sebagainya,” katanya.

Menurut Saliza, mereka tidak mampu mencari rumah sewa kerana ketiadaan wang.

Katanya, dia dan suami sedih dengan keadaan yang perlu dilalui anak-anak namun mereka tiada pilihan.

“Kami sedih mengenangkan nasib ini yang turut perlu dilalui anak-anak, syukur kerana anak faham.

“Syukur juga kerana ada pihak yang prihatin dengan keadaan kami datang menghulurkan bantuan dengan menyediakan tempat berteduh sementara hingga hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kinta Muhammad Arafat Varisai Mahamad berkata, pihaknya menghulurkan bantuan dengan membenarkan keluarga itu berteduh sementara di Pejabat PKR Selama.

Katanya, pihaknya mendapatkan rumah sewa yang akan dihuni keluarga itu bermula hari ini dengan bayaran sewa RM500 sebulan yang dibayarkan pihaknya selama tiga bulan.

Pada masa sama, menurutnya, pihaknya turut mendapatkan barangan keperluan rumah dan dapur buat tujuh beranak itu.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/07/727577/7-beranak-berhimpit-tidur-dalam-kereta?fbclid=IwAR0o7HCjXWHHYkqbTd5kfLomqe-71AzRx-MI9zIIDBHCTwJxWGbp6chJL-k

CATEGORIES

COMMENTS