Panas! Presiden MIC tempelak Zahid, arah menteri UMNO letak jawatan dulu

Panas! Presiden MIC tempelak Zahid, arah menteri UMNO letak jawatan dulu

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi seharusnya memanggil semua menteri parti itu meletakkan jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu, berbanding mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berundur, kata Presiden MIC, SA Vigneswaran.

Vigneswaran bagaimanapun berpendapat desakan Umno keluar daripada kerajaan ketika ini tidak akan berjaya kerana didakwa semua Menteri Barisan Nasional (BN) di dalam kerajaan PN tidak bersetuju untuk melepaskan jawatan masing-masing.

“Kita tengok apakah tindakan Umno terhadap Ahli Parlimen yang tidak setuju terhadap keputusan mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT),” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata, desakan Zahid yang juga Pengerusi BN disifatkan tidak jelas dan tiada hala tuju.

“Umno sebuah parti yang matang, mereka pun tahu… dulu ketika memerintah banyak kali desakan oleh pembangkang supaya perdana menteri mereka berundur, mereka tak buat pun sebab mereka tahu itu hanya desakan,” katanya.

Zahid ketika mengumumkan pendirian parti tengah malam tadi untuk menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin menyenaraikan tujuh sebab mereka berbuat demikian yang kesemuanya berkaitan kegagalan kerajaan.

Beliau berkata Muhyiddin gagal memuaskan garis panduan yang ditetapkannya pada 11 Mac 2020 sebagai syarat meneruskan sokongan kepada kerajaan beliau.

Sementara itu, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata, parti itu akan terus menyokong kerajaan PN sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Sehingga BN membuat keputusan rasmi yang baharu, MCA pada masa ini masih menyokong PN sehingga PRU akan datang, seperti mana keputusan yang dibuat oleh BN sebelum ini,” katanya ringkas.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/08/arah-menteri-umno-letak-jawatan-dulu-bukan-desak-pm-berundur-kata-presiden-mic-kepada-zahid/

CATEGORIES

COMMENTS