Peja bagi jaminan akan terus dukung kerajaan yang dipimpin Saarani

Peja bagi jaminan akan terus dukung kerajaan yang dipimpin Saarani

Perikatan Nasional (PN) Perak memberi jaminan untuk terus mendukung pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Pengerusi UMNO, Datuk Saarani Mohamad selaku Menteri Besar.

Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, komitmen itu diberikan selari dengan persepakatan yang dipersetujui dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini.

“Bersatu dan Pas memang sentiasa berpegang pada janji.

“Bagi pihak Bersatu dan PN Perak, saya ingin menyatakan bahawa komitmen daripada semua ADUN Pas dan Bersatu untuk terus mendukung kerajaan yang dipimpin Yang Berhormat Datuk Saarani.

“Kami akan terus bersama beliau memberi fokus kepada usaha membantu rakyat yang semakin sukar ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Program Vaksinasi Outreach di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Lah, Chenderiang di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kedudukan pentadbiran negeri Perak selepas keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Pentadbiran Perak ketika ini dibarisi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri daripada kalangan wakil rakyat UMNO, Bersatu dan Pas selepas Saarani mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada Disember tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu Perak berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan dibuat di peringkat PN negeri dengan UMNO berhubung perkara itu.

“Saya sendiri pun belum berjumpa dengan Menteri Besar, tetapi apa yang boleh saya nyatakan, kami tetap mendukung dan akan terus beri komitmen kepada pentadbiran beliau,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ADUN Chenderiang itu menyokong usaha kerajaan memperbanyakkan program vaksinasi outreach bagi memberi ruang kepada penduduk khususnya di pedalaman mendapatkan imunisasi mereka dengan lebih cepat.

“Seperti hari ini (Jumaat), saya dimaklumkan 150 dos vaksin dibawa ke sini membolehkan mereka yang sebelum ini berada dalam senarai menunggu menerima suntikan vaksin masing-masing,” katanya.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/149007/BERITA/Politik/PN-Perak-beri-komitmen-terus-sokong-kepimpinan-Saarani

CATEGORIES

COMMENTS