Gempar! Ahli perniagaan ditemui mati tergantung di bawah kipas

Gempar! Ahli perniagaan ditemui mati tergantung di bawah kipas

Seorang ahli perniagaan ditemukan mati dalam keadaan tergantung di sebuah rumah di Taman Putra, Ampang dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 petang itu, mayat mangsa berusia 58 tahun itu ditemukan oleh isterinya selepas pulang membeli barangan keperluan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa terbabit ditemukan dalam keadaan tergantung di bawah kipas di dalam bilik tidur tingkat bawah rumah berkenaan.

“Ketika kejadian, anak bongsu mereka yang berusia 26 tahun berada di dalam bilik dan tidak menyedari kejadian berlaku.

“Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kemurungan dan pernah mendapatkan rawatan di hospital swasta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, berdasarkan rekod, mangsa juga sudah menerima dos pertama vaksin pada 14 Jun lalu.

“Punca kemurungan dipercayai akibat syarikat miliknya mengalami masalah kewangan yang teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan terpaksa ditutup pengoperasiannya.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk proses bedah siasat dan ujian saringan Covid-19,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad Farouk mengingatkan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),”katanya.

Sumber: https://www.utusan.com.my/nasional/jenayah/2021/07/ahli-perniagaan-alami-tekanan-ditemukan-gantung-diri/?fbclid=IwAR2rEEPqW-0VS4qVqzlZfi_w7OMMtnrpnUpdhxH0vw21NeQNUDsN8b7221Q

CATEGORIES

COMMENTS