Panas! Exco Selangor tempelak Miti, terus tambah sektor ekonomi dibenar operasi di kawasan PKPD

Panas! Exco Selangor tempelak Miti, terus tambah sektor ekonomi dibenar operasi di kawasan PKPD

Exco Selangor Ng Sze Han mengkritik langkah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) kerana membenarkan sejumlah sektor ekonomi untuk terus beroperasi di kawasan yang dikuatkuasakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Ng berkata, arahan terbaru itu menyebabkan kekeliruan di kalangan pemain industri memandangkan pihak berkuasa tempatan merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, yang menyatakan hanya perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi di kawasan itu.

Dia juga membayangkan pegawai penguat kuasa di lapangan mungkin tidak mengiktiraf surat kebenaran yang dikeluarkan Miti terhadap perniagaan yang tidak tersenarai dalam perkhidmatan penting.

“Kami dapati banyak surat kebenaran oleh Miti bertentangan dengan SOP PKPD yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Kegagalan Miti untuk berkomunikasi dengan kementerian lain mencetuskan banyak kekeliruan di lapangan,” katanya kepada Malaysiakini.

“Malah, Miti luluskan perniagaan dan perkhidmatan yang tersenarai dalam SOP untuk Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kebanyakan kawasan di Selangor masih dalam PKPD,” katanya yang merupakan exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru.
‘Bukan bantah sembarangan’

Ng menafikan kerajaan negeri membantah keputusan yang dibuat kerajaan persekutuan secara sembarangan.

“Kerajaan persekutuan mengawal dan mengetuai pengurusan pandemik, manakala kerajaan negeri hanya melaksana (arahan),” katanya.

Dia menggesa perniagaan dan kilang yang terbabit untuk mendapatkan penjelasan daripada Miti dan MKN sebelum menyambung semula operasi, bagi mengelakkan masalah dengan pihak berkuasa.

Ng diminta mengulas kekeliruan yang timbul selepas beberapa kilang didakwa melanggar SOP oleh pegawai penguatkuasa selepas didapati beroperasi pada 9 Julai lalu.

Dua hari sebelumnya, Miti dalam kenyataan berkata beberapa sektor – elektrik dan elektronik (E&E) dan rantaian bekalannya, aeroangkasa, mesin dan peralatan (M&E) bagi pengeluaran produk kesihatan dan makanan serta syarikat pembuatan makanan dan minuman utama – dibenarkan beroperasi serta merta.

Kilang yang dibenarkan beroperasi perlu mengambil beberapa langkah, antaranya melakukan ujian saringan Covid-19 kepada semua pekerja dua kali seminggu.

Miti berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada hari tersebut.

Pada hari sama, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengemukakan cadangan kepada MKN agar hanya perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi sepanjang PKPD.

Malaysiakini telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Miti dan MKN sejak semalam bagi mengulas perkara ini.

Kilang keliru

Sementara itu, Pengerusi MTUC Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Noorulazhar Mohd Hanafiah berkata sejumlah kilang di Selangor kini dalam keadaan keliru berhubung arahan bertentangan tersebut.

Dia berkata, sekurang-kurangnya dua kilang E&E di Petaling dan Kuala Langat keliru apabila dia diarahkan oleh pegawai penguat kuasa untuk menghentikan operasi pada hari kedua mereka kembali beroperasi.

“Sebuah kilang pencetak hentikan ujian saringan ke atas 600 pekerja selepas kerajaan negeri halang mereka untuk sambung operasi ketika PKPD. Tetapi kemudian di hari sama, mereka diberitahu boleh jalankan mesin seperti biasa selepas semak dengan Miti.

“Di Teluk Panglima Garang, pihak berkuasa tempatan serbu sebuah kilang dan ia kemudian sambung semula operasi sebab operator putuskan untuk ikut arahan Miti, bukan kerajaan tempatan.

“Berlaku kekeliruan sam ada kita perlu ikut arahan kerajaan negeri atau pusat,” katanya lagi.

Sementara itu, Persatuan elektrik dan elektronik malaysia berkata pihaknya belum menerima aduan berkenaan perkara itu daripada anggotanya.

Presidennya Siew Choon Thye berkata, perniagaan dan kilang yang terlibat perlu mendapatkan nasihat daripada MKN dan polis memandangkan polis yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan kompaun bagi pelanggaran SOP.

Dia berkata, sesetengah industri memang perlu dibenarkan operasi walau terletak dalam kawasan PKPD memandangkan syarat yang ketat telah ditetapkan.

“Kami diminta buat ujian swab dua kali seminggu, yang sangat mahal bagi syarikat dengan pekerja yang ramai. Ini bagi memastikan tiada kes Covid-19 di kilang yang menyambung semula operasi,” katanya.

Dia juga menggesa kerajaan membenarkan kilang E&E di Selangor untuk beroperasi kerana mereka perlu memenuhi permintaan dalam rantaian bekalan global.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/582621

CATEGORIES

COMMENTS