Timbalan menteri Pas kata Malaysia negara terbaik bantu rakyat ketika pandemik Covid-19

Timbalan menteri Pas kata Malaysia negara terbaik bantu rakyat ketika pandemik Covid-19

Malaysia antara negara terbaik yang membantu rakyat dalam kesusahan sepanjang pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata bantuan tanpa henti diberikan kerajaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

“Untuk mencukupkan segala-galanya memang tidak akan cukup, namun sebahagian besar sudah diusahakan kerajaan dalam membantu rakyat.

“Kita (Malaysia) antara negara yang terbaik dalam memberi bantuan sumbangan kepada rakyat. Negara lain tidak sehebat kita.

“Justeru, kita mengharapkan semua pihak berganding bahu dan kita akan memastikan keperluan asas kepada rakyat sampai sebagaimana saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir Majlis Penyerahan Sumbangan Inspirasi Qaseh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Sering, di sini, hari ini.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) ibadah korban, Ahmad Marzuk berharap semua pihak mematuhi SOP ditetapkan.

“Kita di pihak kementerian sarankan beberapa SOP, namun terpulang kepada negeri masing-masing untuk mengolahnya.

“Jadi, kita harap rakyat akur dan patuh dengan arahan yang dikeluarkan di negeri masing-masing walaupun terdapat SOP yang tidak bebas,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/838202/malaysia-antara-negara-terbaik-bantu-penduduk-ketika-pkp

CATEGORIES

COMMENTS