Terkini! Bekas Adun Umno didakwa terima rasuah lebih RM11 juta

Terkini! Bekas Adun Umno didakwa terima rasuah lebih RM11 juta

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Mansor Musa, 58, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan menerima rasuah berbentuk wang tunai dan barangan berharga bernilai lebih RM11 juta.

Tertuduh yang juga pengerusi koperasi syarikat hartanah bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua 106 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Muhamad Yunus.

Mengikut pertuduhan, Mansor yang juga Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru itu didakwa menerima wang tunai, aset dan saham melalui syarikat yang berbeza membabitkan nilai keseluruhan melebihi RM11 juta antara September 2011 hingga 10 Ogos 2020.

Tertuduh berdepan 42 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 [Akta 613] (AMLATFA 2001) dan 64 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] (AMLATFAPUAA 2001).

Jika sabit kesalahan di bawah AMLATFA, tertuduh boleh dihukum tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali.

Sementara bagi AMLATFAPUAA pula, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram yang diambil.

Difahamkan, ketika prosiding kes berlangsung berlaku gangguan elektrik hingga memaksa menukar tiga mahkamah dengan mengambil masa hampir empat jam untuk menghabiskan kesemua pertuduhan terhadap tertuduh.

Kes dikendalikan pasukan pendakwaan diketuai Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah bersama Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Muhamad Azlan Basri manakala tertuduh diwakili peguam Kek Boon Wei dan Helen Ng.

Ketika prosiding, Faridz memohon kepada mahkamah supaya menetapkan wang jaminan RM2 juta dengan seorang penjamin terhadap tertuduh namun Boon Wei merayu supaya anak guamnya diberikan jaminan munasabah RM100,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 September sebagai tarikh serahan dokumen.

Semalam, Mansor ditahan SPRM selepas dipercayai menerima wang rasuah dan barangan berharga yang berjumlah lebih RM16 juta.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/07/838620/bekas-adun-batu-maung-didakwa-terima-rasuah-lebih-rm11-juta

CATEGORIES

COMMENTS