Menteri Agama kata beri kepercayaan kepada kerajaan PN tambah baik TH

Menteri Agama kata beri kepercayaan kepada kerajaan PN tambah baik TH

Model baharu pengoperasian Tabung Haji (TH) kelak perlu dilaksanakan dengan jujur, amanah dan berintegriti memandangkan agensi itu diamanahkan menjaga wang lebih 8.3 juta pendeposit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, pemusatan kuasa yang terlalu besar oleh individu atau pihak ke atas TH dikhuatiri boleh membuka jalan kepada ketidakcekapan tadbir urus.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 10 Akta Tabung Haji 1995, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mempunyai kuasa ke atas TH terutama dari segi operasi dan penyelarasan jemaah haji.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga akan terus kekal sebagai menteri bertanggungjawab bagi TH untuk memastikan hak umat Islam dan bakal jemaah haji terpelihara.

“Pengawalseliaan Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas TH sama sekali tidak akan menghakis hak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan umat Islam ke atas TH,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Katanya, setiap institusi kewangan yang dikawal selia BNM mempunyai model pengurusan berbeza, malah boleh mengekalkan punca kuasa sedia ada seperti Bank Rakyat yang masih di bawah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi walaupun dikawal selia BNM.

Zulkifli berkata, beliau berharap agar semua umat Islam dapat memberikan kepercayaan kepadanya, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta kerajaan bagi melaksanakan penambahbaikan ke atas TH.

Justeru katanya, kawal selia daripada badan yang berkepakaran seperti BNM adalah bagi memastikan TH kekal pada landasannya.

“Pelaksanaan Model Baharu Operasi TH ini adalah menambah baik tadbir urus dan model perniagaan TH.

“Ini bagi memastikan TH sentiasa mampan dalam menguruskan ibadah haji umat Islam di samping menguruskan perniagaan dan pelaburan yang mampu memberikan potensi pulangan baik untuk pendeposit,” katanya.

Katanya, cadangan penambahbaikan pengurusan dan operasi TH penting bagi menjunjung nilai integriti dan tadbir urus yang baik berasaskan lapan prinsip utama digariskan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP).

Sumber: https://www.utusan.com.my/terkini/2021/07/beri-kepercayaan-kepada-saya-tengku-zafrul-dan-kerajaan-tambah-baik-th-zulkifli/

CATEGORIES

COMMENTS