Terkini! Dr Mahathir kata mahu Anwar jadi PM, tapi Muhyiddin ‘sailang’

Terkini! Dr Mahathir kata mahu Anwar jadi PM, tapi Muhyiddin ‘sailang’

Dalam “pendedahan” mengejutkan, Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau mahu Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, tetapi Muhyiddin Yassin memintas Presiden PKR itu bagi mendapatkan jawatan berkenaan.

Bekas perdana menteri itu mendakwa Muhyiddin menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya beliau boleh menjadi Perdana Menteri.

Katanya, Muhyiddin tahu beliau tiada peluang menjadi Perdana Menteri, jika Anwar mengambil alih jawatan nombor satu itu.

“Muhyiddin tahu beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri kerana saya sudah berjanji kepada Anwar untuk mengambil alih jawatan itu selepas saya berundur.

“Jika Anwar menjadi Perdana Menteri, saya tidak rasa beliau akan melantik Muhyiddin sebagai timbalannya dan Muhyiddin tidak akan mempunyai peluang untuk memimpin negara,” kata Pengerusi Pejuang itu dalam sidang media maya.

Beliau berkata, ini sebabnya Muhyiddin merasakan dengan menggulingkan PH, beliau boleh menjadi Perdana Menteri.

Katanya, Muhyiddin juga tahu beliau (Mahathir) tidak mahu bekerjasama dengan Umno, tetapi “dirinya (Muhyiddin) sedia bekerjasama degan mereka”.

Disebabkan itu, apabila Mahathir meletak jawatan Februari tahun lalu, Muhyiddin “melihatnya sebagai peluang” kerana orang seperti bekas perdana menteri, Najib Razak atau sesiapa dari Umno tidak boleh menjadi Perdana Menteri.

Umno, katanya, di bawah tanggapan ia boleh menggunakan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri untuk melepaskan diri daripada kes mahkamah, tetapi Muhyiddin sudah menytaakan beliau tidak akan campur tangan.

“Walaupun dia tidak campur tangan dalam kes Najib, (ahli politik seperti) Musa Aman dan Tengku Adnan Mansor terlepas.”

Beliau berkata, mereka sekarang mahu “kenakan Lim Guan Eng, tetapi ia bergantung kepada undang-undang”.

Mahathir berkata, beliau tidak akan campur tangan dalam kes mahkamah Lim dan ia patut dikendali berdasarkan undang-undang.

Gerakan Bendera Hitam

Mahathir turut diminta mengulas tindakan Secretariat Solidariti Rakyat (SSR) memberi tekanan kepada Muhyiddin untuk meletak jawatan dengan menganjurkan bantahan.

Mahathir berkata, rakyat menderita dan tidak tahu hendak ke mana mendapatkan bantuan.

“Kerajaan berminat menjadi kerajaan dan Perdana Menteri berminat menjadi Perdana Menteri.”

Bandar Malaysia

Mahathir berkata, tidak wajar untuk mengambil wang dan kemudian membatalkan projek mega itu.

“Jika anda buat macam ini, orang lain tidak mahu melabur. Anda (kerajaan) berjanji dan kemudian tidak teruskan kontrak.”

Baru-baru ini, Kementerian Kewangan dan IWH-CREC Sdn Bhd (ICSB) diumumkan saling bersetuju menamatkan perjanjian membeli 60% saham dalam projek Bandar Malaysia di bekas pangkalan tentera udara di Sungai Besi pada harga RM7.4 bilion.

Peranan Peguam Negara

Mahathir berkata, kerajaan semasa mendapati Peguam Negara sekarang “agak berguna”.

Disebabkan itu, cadangan meminta Peguam Negara menghadiri sidang Parlimen untuk menjawab soalan berhubung Ordinan Darurat sebenarnya bukan kerana beliau akan mengikut kehendak kerajaan.

Justeru, katanya, terma dan rujukan Peguam Negara perlu dikaji semula kerana beliau bukan sahaja pendakwa raya, tetapi juga peguam cara.

“Ada sesuatu yang tidak kena dengan terma dan rujukannya.”

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/21/saya-mahu-anwar-jadi-pm-selepas-saya-berundur-kata-dr-m/?fbclid=IwAR1SQZJx_dM46u3qyBSGRrcObC3zVPMOWGM0J6VUAsIGQ7UDyKIHDEZ6eRA

CATEGORIES

COMMENTS