Kerajaan PN tangkap, gari orang solat sunat raya: Di mana keadilan Islam?

Kerajaan PN tangkap, gari orang solat sunat raya: Di mana keadilan Islam?

UNDANG-UNDANG Syariah harus mencerminkan nilai-nilai Islam yang sejagat. Islam mengajarkan nilai keadilan, kesaksamaan, bertimbang rasa, belas kasih dan memelihara maruah insaniah.

Ibn Qayyim al-Jawziyya menyebut bahawa Syariah itu berasaskan kepada nilai keadilan dan membangunkan kebajikan manusia di dunia dan akhirat.

Justeru, sebarang undang-undang yang menyimpang dari keadilan kepada kezaliman, atau menyimpang dari ketimbang rasa kepada diskriminasi, atau sikap kasih kemanusiaan kepada kezaliman, atau sikap kebijaksanaan kepada kebodohan, maka ia tidak boleh menjadi sebahagian daripada Syariah.

Peristiwa penangkapan 49 orang – 48 daripadanya warga Bangladesh – kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) iaitu melakukan solat sunat Aidiladha melebihi jumlah yang dibenarkan, di atas jalan berhampiran surau Taman Pelangi, dilihat tidak selari dengan nilai-nilai Syariah.
Benar mereka melakukan kesalahan melanggari SOP, namun cara diperlakukan kepada mereka ini seolah-seolah melakukan jenayah besar dan dilayan seperti tidak kemanusiaan tanpa maruah insaniah dan keadilan.
Islam pilih-pilih

Ironinya di Malaysia, nilai Islam yang bersifat tolak ansur hanya untuk golongan elit tertentu sahaja. Sebaliknya sikap keras dan tidak kemanusiaan untuk golongan bawahan dan lemah. Demikian agama Islam di Malaysia bahawa sikap tolak ansur untuk orang kaya dan elit penguasa. Sebaliknya tidak terpakai kepada golongan miskin dan marhain. Apatah lagi warga asing seperti Bangladesh.
Lihatlah sendiri betapa para penguasa, kayangan dan elit yang melakukan kesalahan SOP, namun hukuman terhadap mereka tidak seperti terjadinya kepada saudara kita warga Bangladesh ini.
Kerana mereka itu warga Bangladesh maka mereka layak untuk diperlakukan sebegitu lalu dianggap hina?

Sedangkan para menteri, berkumpul makan durian, berkumpul di majlis kahwin dan tahnik anak artis, namun mereka tetap dianggap mulia? Jadi di mana keadilan dan kesaksamaan Islam?

Sedangkan Islam mengajarkan bahawa semua manusia adalah sama. Bukan pilih-pilih. Bahkan diperlakukan kemanusiaan dan keadilan dengan saksama tidak kira bangsa, kaum dan agama. Mereka mungkin boleh dihukum atau didenda tetapi tidak perlulah sampai dilayan seakan mereka penjenayah.

Adil dalam menghukum

Seperti mana yang kita tahu, 48 orang yang ditahan warga Bangladesh. Mereka berasal dari Asia Selatan kebanyakannya bermazhab Hanafi. Di Malaysia, kita beramal dengan mazhab Syafii. Sudah tentu ada perbezaan dalam sesetengah pelaksanaan ibadah. Dan harus diingat, semua mereka ini adalah orang awam yang hanya bermazhab Hanafi – orang biasa.

Mereka bukan ilmuwan yang tahu serba serbi pandangan khilaf, fikah, uruf dan pelbagai lagi perbincangan dalam hukum mazhab Hanafi. Mereka sekadar orang awam yang kuat berpaut dengan ajaran agama sahaja. Jadi tindakan mereka ini adalah di luar kemampuan dan kesedaran.

Dalam perundangan hukum Islam, menurut mazhab Hanafi, solat hari raya adalah wajib bagi mereka yang wajib menunaikan solat Jumaat dan dilakukan secara berjemaah. Pastilah mereka mengikuti tuntutan ini. Ia bukan dirancang untuk sengaja melanggari peraturan SOP.

Justeru kita juga harus pertimbangkan dan ambil kira juga faktor pegangan mazhab mereka yang lazimnya berpegang kepada mazhab Hanafi.

Maka bersikap adil dalam sesuatu perkara. Mereka mungkin tidak mengetahui.
Apatah lagi mereka ini ilmunya sebatas pegangan mazhab tentang wajibnya solat raya. Mereka hanya solat di tempat lapang.

Namun kita tidak boleh bertolak ansur sedikit pun dan bersikap adil kepada mereka. Sebaliknya dilayan penuh dengan keaiban.

Tidaklah bermaksud mazhab mereka mewajibkan maka kita membenarkan pelanggaran SOP, namun sekurang-kurangnya layanlah seperti manusia yang punya maruah dan kemuliaan.
Lihatlah betapa teruknya mereka diaibkan dan digari tanpa kasut berbanding kesalahan menteri yang seleweng duit rakyat. Kesalahan mereka hanya solat di surau.

Ironinya negara kita mempunyai menteri agama yang serba tahu kaedah hukum fikah dan ilmu tinggi pun masih sibuk mahu melakukan solat secara berjemaah di masjid.

Dialog Ibn Abbas

Islam bukan agama keras, tidak ada common sense, kering adab dan kontang rahmah. Sebaliknya Islam datang dengan kebijaksanaan dan keadilan saksama serta penuh dengan sikap bertimbang rasa.

Dalam konteks ini, warga Bangladesh yang melakukan kesalahan ini kita anggaplah mereka itu hanya orang awam. Harus ada perasaan untuk bertimbang rasa. Sedangkan nabi dan para sahabat ketika berhadapan dengan kumpulan ekstrimis pun masih bertimbang rasa dengan cara berdialog.
Ada suatu kisah bagaimana Ibn Abbas melakukan dialog ketika berhadapan kelompok ekstrimis seperti golongan Khawarij. Bahkan usaha beliau ini telah mempertaruhkan keselamatan dirinya sendiri bagi tujuan mengajak golongan Khawarij untuk kembali kepada jalan yang lurus.

Mari belajar dari sikap bijaksana Ibn Abbas yang memilih dialog seperti kisah ini: Sehingga tiba pada suatu hari, aku (Ibn Abbas) berkata kepada ‘Ali: Wahai Amirul Mukminin, lewatkan solat (zohor) agar aku tidak ketinggalan (berjamaah) sehingga aku (selesai) berjumpa dengan kaum itu (Khawarij – al-Haruriyyah) dan berdialog dengan mereka. Kata beliau: Aku risaukan kamu (diapa-apakan) oleh mereka. Aku membalas: tidak InsyaAllah. Aku orangnya elok pekerti dan tidak menyakiti sesiapa pun.”

Manakala sebaliknya ada kisah sebahagian sahabat r.a. pula memulau golongan Khawarij seperti menidakkan mereka. Sebagaimana dilakukan oleh Jundub bin Abd Allah r.a. yang berpaling daripada pengikut Khawarij dan menempelak mereka:

“Sekumpulan Khawarij telah masuk bertemu dengan Jundub bin ‘Abd Allah dan berkata: Kami mengajak kamu kepada Kitabullah. Beliau menjawab: Kamu semua? Mereka berkata: Kami. Beliau bertanya lagi: Kamu semua? Mereka menjawab: Kami. Beliau berkata: Wahai seburuk-buruk ciptaan Allah, ketika kamu semua berada dalam kalangan kami, kamu memilih kesesatan atau kamu mencari hidayah daripada jalan selain Sunnah kami? Pergi kamu semua daripadaku.”

Sebahagian sahabat lain pula ada yang menzahirkan kebencian terhadap kumpulan Khawarij.

“Diriwayatkan bila mana Abu Umamah melihat kepala-kepala ketua al-Azariqah (Khawarij) tergantung di Dimasyq, mata beliau bergenang air mata dan berkata: “Anjing-anjing neraka, anjing-anjing neraka, anjing-anjing neraka, mereka adalah seburuk-buruk orang yang dibunuh di bawah naungan langit dan sebaik-baik mangsa pembunuhan di bawah naungan langit adalah orang yang dibunuh oleh mereka. Dikatakan kepada beliau: Mengapa engkau menangis? Beliau berkata: Kerana mengasihani mereka, sesungguhnya mereka daripada orang-orang Islam…”

Beginilah cara yang dilakukan oleh beberapa sahabat yang boleh kita pelajari mengenai peristiwa yang terjadi dalam sejarah awal Islam tentang inisiatif bagi mengekang golongan ekstremis ini.

Namun dalam banyak pendekatan yang dilakukan sahabat, bahawa pendekatan Ibn Abbas paling dilihat memberi impak dalam usaha mengekang sikap ekstrimis dengan melalui kaedah dialog.

Bayangkanlah itu ketika berhadapan dengan kelompok ekstrimis pun masih ada ruang untuk berdialog dan dilayan penuh kemanusiaan.

patah lagi saudara kita warga Bangladesh ini merupakan hanya orang awam yang taat beribadah dan tidak sengaja melakukan kesalahan bahkan kesalahan itu hanya untuk menegakkan syiar Islam.

Maka, berpada-padalah dalam menghukum. Belajar dari sikap Ibn Abbas. – 23 Julai, 2021.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

Sumber: https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/328988

CATEGORIES

COMMENTS