Panas! Najib kata ahli Parlimen PN adalah katak

Panas! Najib kata ahli Parlimen PN adalah katak

Pemansuhan lebih awal ordinan darurat yang didakwa secara senyap dan undur tarikh (backdated) membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara diam-diam akur mereka sudah hilang majoriti, kata Najib Razak.

PN juga, tambah bekas perdana menteri itu, bertindak sedemikian apabila gagal membeli lebih ramai ahli parlimen – yang dilabelnya sebagai katak – untuk menyokong kerajaan berkenaan.

“Memansuhkannya secara senyap dan secara backdated merupakan satu pengakuan bahawa kerajaan hari ini sudah hilang majoriti dan mereka telah gagal membeli lebih banyak katak,” katanya dalam satu hantaran di media sosial pagi ini.

Menurut Najib lagi, dalam keadaan sekarang ada “katak” yang sudah melompat menyokong PN untuk menyelamatkan diri mereka kini sedang berkira-kira melompat semula.

“Tiada siapa pernah kata bahawa katak yang melompat sekali tidak akan melompat untuk kali kedua,” tambahnya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang, Takiyuddin Hassan, mengejutkan ramai orang apabila memaklumkan semua ordinan darurat yang diisytiharkan tahun ini tidak boleh diguna pakai mulai 21 Julai.

Tak maklumkan ke presiden

Ia bagaimanapun mengundang tanda tanya lanjut sama ada pembatalan itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atau sebaliknya.

Perdebatan mengenai isu itu masih berlanjutan sehingga ke hari ini.

Kata Najib lagi, PN juga sudah tersalah langkah kerana gagal menangani wabak Covid-19 walaupun darurat dikuatkuasakan sejak 11 Jan lalu.

“Memansuhkannya lebih awal merupakan pengangkuan bahawa darurat sudah gagal memerangi Covid-19 dan sebenarnya tidak perlu dilaksanakan.

“Ianya hanya merosakkan keyakinan pelabur tanpa memberi sebarang manfaat pada negara,” katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Ibrahim Ali menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin segera berundur selepas mencipta pelbagai kemelut dalam negara.

Ibrahim turut memetik tindakan kerajaan tidak segera mengumumkan penamatan ordinan darurat dan sama ada ia sudah mendapat perkenan Agong atau sebaliknya.

Lebih malang lagi katanya pemimpin Umno dalam kabinet juga tidak memaklumkan presiden mereka mengenai perkara itu.

“Sungguh memalukan juga apabila ahli-ahli kabinet dari Umno/BN yang turut sama membuat keputusan pada 21 Julai tidak memaklumkan kepada presidennya,” kata Ibrahim.

Bekas timbalan menteri itu juga mendakwa apa yang berlaku sekarang lucu kerana tiada mana-mana menteri dari Umno memaklumkan hal tersebut kepada pemimpin mereka.

“Mungkin kerana Umno tidak keramat lagi bagi yang memegang jawatan?

“Kemelut dan krisis akan berterusan, tiada penyelesaian dan bertambah kusut.

“Tiada cara yang terbaik demi rakyat dan negara (untuk diselamatkan), kecuali perdana menteri mestilah segera mengundurkan diri secara terhormat,” katanya dalam kenyataan.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/584708

CATEGORIES

COMMENTS