Kemelut politik: Pas tetap dokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri

Kemelut politik: Pas tetap dokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri

Kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan PAS mendokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan kemelut politik yang melanda ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata situasi yang berlaku ketika ini adalah perkara biasa dalam politik dan pihaknya mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung situasi politik di dalam negara.

Beliau berkata, kerajaan negeri Terengganu juga stabil dan memberi tumpuan menggembleng tenaga bagi menyelesaikan masalah rakyat, terutama yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Perkara ini seperti pasaran saham, pukul 10 pagi ada satu nilaian tertentu, pukul 10.30 pagi nilaian lain pula. Jadi, ini antara perkembangan yang sedang kita tunggu dan lihat dari semasa ke semasa.

“Apa pun blok yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui Perikatan Nasional (PN) (adalah) blok yang terbesar berbanding blok lain yang buat pelbagai andaian blok yang lain,” katanya menerusi akaun rasminya di Facebook.

Ahmad Samsuri berkata, apa yang penting ketika ini, kerajaan negeri mahu memberi fokus kepada pandemik COVID-19 terlebih dahulu.

Beliau mempersoalkan kenapa ada pihak sanggup mengambil kesempatan daripada derita dihadapi penduduk dengan menambah seksaan baharu dengan politik peribadi, mengheret parti dan negara untuk menyelesaikan masalah diri sendiri.

“Saranan saya kepada semua pihak, politik-politik (juga) tetapi yang penting sekarang ialah kita kena ingat sampai satu masa rakyat akan menghukum orang politik kerana sentiasa berpolitik walaupun rakyat ditimpa kesusahan,” katanya.

Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, dan tidak akan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal di mata rakyat, dan keputusan itu selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/847245/tunggu-dan-lihat

CATEGORIES

COMMENTS