Selepas pertemuan dengan Najib, menteri Umno akan pertahan PN, Muhyiddin?

Selepas pertemuan dengan Najib, menteri Umno akan pertahan PN, Muhyiddin?

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa menteri yang bertemu Datuk Seri Najib Razak malam tadi dikatakan telah memohon supaya polemik yang sedang berlaku sekarang dihentikan.

Menurut sumber MalaysiaGazette, perkara tersebut disampaikan Ismail Sabri kepada bekas Perdana Menteri itu dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira tiga jam bermula pukul 8 malam tadi.

Dalam pertemuan yang turut disertai beberapa menteri Kabinet itu di kediaman Najib itu, mereka menyuarakan pendirian akan terus kekal menyokong Perikatan Nasional sehingga akhir tahun ini.

Mereka juga berpendirian bahawa kemelut politik yang tercetus berikutan keputusan Majlis Tertinggi UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu perlu ditangguhkan sehingga usaha membendung penularan Covid-19 di negara ini selesai.

Ia berikutan menteri-menteri UMNO masing-masing memegang portfolio penting berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan tanggungjawab tersebut perlu diberi keutamaan.

Pertemuan itu juga dipercayai ada kaitan dengan desas-desus bahawa Ismail Sabri akan mengadakan sidang media hari ini bersama menteri-menteri UMNO berhubung pendirian mereka untuk tidak menarik sokongan terhadap PN dan Muhyiddin.

Setakat ini hanya seorang menteri UMNO iaitu Datuk Shamsul Anuar Nasarah telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli selepas Majlis Tertinggi parti itu memutuskan menarik semula sokongan terhadap PN dan Muhyiddin.

Keputusan itu dibuat berikutan kemelut PN dan Istana Negara berhubung pembatalan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat yang diputuskan Kabinet Muhyiddin pada 21 Julai lalu.

Selain Ismail dan Shamsul Anuar, ahli Parlimen UMNO di dalam Kabinet Muhyiddin terdiri daripada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Saddiq; Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Sumber: https://malaysiagazette.com/2021/08/06/menteri-menteri-umno-kekal-sokong-pn-muhyiddin/

CATEGORIES

COMMENTS