Panas! Pemimpin Bersatu dakwa Muhyiddin ada cara nak jinakkan Umno

Panas! Pemimpin Bersatu dakwa Muhyiddin ada cara nak jinakkan Umno

Berpengalaman politik lebih 40 tahun menjadi senjata bagi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin “menjinakkan” Umno, kata Pengerusi Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf A Suffian.

Katanya, Muhyiddin bukanlah seorang ahli politik yang senang dibuli, selain beliau mempunyai kredibiliti menguruskan serangan bertali arus Umno terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“PM sendiri telah mengumumkan yang beliau tidak mahu mencampuri urusan mahkamah, itu jelas dan saya sangat kagum dengan prinsip pendiriannya. Maka, tindakan yang dipilih oleh PM bahawa biarlah Parlimen menyelesaikan masalah politik ini melalui undi percaya pada Sept depan adalah pilihan sangat tepat.

“Penyelesaian oleh Tan Sri Muhyiddin ini adalah sebagai seorang ‘gentleman’ yang tidak mahu mengheret pihak lain terutama rakyat dalam kemelut ini,” katanya kepada FMT.

Ketika ditanya berkenaan sokongan Umno diperlukan pada pilihan raya umum akan datang, Jaziri berkata, kematangan politik dan politik khidmat demi rakyat perlu menjadi asas ketika ini dan pada masa depan, bukan lagi hanya laungan retorik semata-mata.

“Saya sangat percaya pada ‘politics of service’ (politik khidmat) yang mana khidmat kita adalah untuk rakyat.

“Namun, saya berpandangan untuk PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) kita perlu menang bersama. Ini kerana proses pemulihan semua sektor sama ada ekonomi, sosial dan pendidikan perlu dilakukan secara bersama,” katanya.

Beliau turut menghargai dokongan Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri dan Ahli Parlimen Umno yang tetap teguh bersama perdana menteri walaupun mereka mungkin berhadapan tekanan daripada parti sendiri.

Katanya, peletakan jawatan Shamsul Anuar Nasarah sebagai menteri tenaga dan sumber asli, disusuli Noraini Ahmad sebagai menteri pengajian tinggi, disifatkan sebagai pilihan peribadi.

“Banyak agensi kerajaan, penjawat awam, pensyarah mahupun pelajar terjejas akibat tindakan ini. Mereka melihat kepada kepimpinan menteri membantu selesaikan atau meminimumkan kemelut dalam kementerian akibat Covid-19 ini.

“Maka, jika menteri meninggalkan kementerian ia adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab yang akhirnya mampu menjejaskan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sudah dirancang,” katanya.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/07/jangan-pandang-rendah-muhyiddin-ada-ramuan-jinakkan-umno-kata-bersatu-sarawak/

CATEGORIES

COMMENTS