Umno Larut sokong penuh keputusan MKT, tarik sokongan terhadap PN

Umno Larut sokong penuh keputusan MKT, tarik sokongan terhadap PN

Seluruh kepimpinan dan ahli UMNO Bahagian Larut menyokong penuh keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kepimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Saarani Mohamad berkata, ketetapan itu seperti yang dizahirkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah tepat dan selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO yang menggariskan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Larut yang diadakan secara hibrid pada malam tadi turut menyatakan sokongan dan penghargaan kepada Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad yang mengambil keputusan berani dengan meletakkan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli dan Menteri Pengajian Tinggi.

“Tindakan kedua-dua Ahli Parlimen daripada UMNO ini membuktikan mereka sentiasa mendahulukan amanah dan perjuangan parti melebihi kepentingan diri serta laba jawatan.

“Kami juga mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Parlimen serta kepimpinan UMNO yang mempamerkan solidariti terhadap keputusan parti dengan meletakkan jawatan dalam pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, kata Saarani, mereka berharap agar ahli-ahli Parlimen yang lain supaya senada mengambil langkah yang sama bagi mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

Sumber | SP

CATEGORIES

COMMENTS