Klein Vision Aircar: Kereta terbang yang akan menjadi realiti

Klein Vision Aircar: Kereta terbang yang akan menjadi realiti

KERETA terbang sebenarnya bukanlah idea yang baru difikirkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Malah, ia boleh dikatakan ‘simbol’ Wawasan 2020 bagi hampir setiap kanak-kanak suatu ketika dahulu.

Jika anda masih ingat, subjek kereta terbang pernah menjadi bualan hangat di seluruh negara pada 2019. Menteri Pembangunan Usahawan ketika itu, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dilihat mempunyai visi untuk melancarkan kereta terbang pertama negara walaupun mendapat pelbagai kritikan.

Bagaimanapun, selepas kemelut politik pada awal 2020 yang menyaksikan pertukaran kerajaan, projek itu boleh dikatakan terkubur begitu sahaja tanpa apa-apa perkembangan hingga sekarang.

Gambar oleh: Motor1.com

Namun, lain pula ceritanya di Slovakia. Sebuah syarikat tempatan yang dinamakan Klein Vision telah berjaya membuat penerbangan ujian dengan kereta terbang prototaipnya pada bulan lalu.

Gambar oleh: Motor1.com

Dipandu oleh penciptanya Professor Stefan Klein dan pengasas bersama syarikat Anton Zajac, jentera yang dikenali sebagai AirCar itu terbang selama 35 minit dari lapangan terbang antarabangsa di Nitra menuju ke Bratislava. Sebaik sahaja mendarat, ia ‘bertukar’ menjadi kereta dan dipandu ke pusat bandar oleh Klein dan Zajac.

Gambar oleh: Motor1.com

Tidak seperti kebanyakan kereta terbang lain yang mempunyai rekaan seakan dron quadkopter, AirCar menggabungkan bentuk kereta dan pesawat kecil. Ia boleh bertukar daripada sebuah kereta menjadi sebuah pesawat dalam masa kurang tiga minit. Ia juga boleh memuatkan dua orang penumpang (termasuk pemandu) dengan had muatan maksimum 200kg.

AirCar dikuasakan oleh enjin BMW yang menggunakan bahan api biasa untuk menggerakkan bebaling (propeller). Bagaimanapun, tidak seperti dron yang boleh terbang secara menegak, ia memerlukan landasan untuk berlepas seperti pesawat kepak-kaku (fixed wing).

Gambar oleh: Motor1.com

Menurut Klein Vision, mereka telah menghasilkan dua buah prototaip AirCar. Prototype 1 yang digunakan untuk penerbangan terbaharu ini mempunyai 160hp dan telah melengkapkan lebih 40 jam penerbangan ujian. Ia mampu mencapai ketinggian 8,200 kaki dan terbang pada kelajuan sehingga 190km/j.

Sementara itu, Prototype 2 yang masih dalam fasa pembangunan dikatakan lebih berkuasa, mempunyai 300hp. Ia dijangka boleh mencapai kelajuan 300km/j, dengan jarak penerbangan sehingga 1,000 km.

Selain itu, syarikat itu juga dalam perancangan untuk membangunkan model AirCar dengan tiga dan empat tempat duduk, serta versi enjin berkembar dan amfibia (dua alam).

Setakat ini, masih tiada pengesahan mengenai produksi AirCar namun melihat kepada kejayaan ujian penerbangan ini, kita mungkin tidak perlu menunggu lama untuk melihatnya beraksi di udara.

Semua gambar adalah ihsan Motor1.com.

Sumber | ENGEAR

CATEGORIES

COMMENTS