Terkini! Ahmad Maslan kata Umno ada strategi pilih calon PM

Terkini! Ahmad Maslan kata Umno ada strategi pilih calon PM

UMNO mempunyai strateginya sendiri dalam memilih calon Perdana Menteri bagi mengetuai kerajaan baharu jika Tan Sri Muhyiddin Yasin mengambil keputusan berundur.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata strategi itu sama sekali tidak akan didedah kepada umum atau di luar parti sebelum tiba masanya.

Beliau berkata, strategi itu juga tidak membabitkan sebarang kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) seiring pendirian parti sebelum ini.

“UMNO yang 15 (Ahli Parlimen yang sudah menyatakan menolak Perikatan Nasional (PN)) tidak akan sokong mereka (Anwar dan PH). Presiden tidak akan membawa untuk menyokong mereka, ini perkara benar.

“Apa yang akan berlaku, itu strategi yang kita tidak akan sebut di luar tapi pokok pangkalnya kita mengharapkan daulat Tuanku, atas kebijaksanaan Agong sebab dalam Perlembagaan adalah kuasa Agong atas dasar yang tertentu untuk melantik Perdana Menteri,” katanya dalam satu program temubual disiar di Facebook UMNO Online malam tadi.

Penjelasan itu sekali gus menafikan dakwaan dalam kalangan ahli dan pemimpin UMNO bahawa parti itu akan membentuk kerjasama dengan Anwar dan PH jika Muhyiddin meletak jawatan.

Beberapa pemimpin UMNO juga sebelum ini meminta pimpinan parti terutama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan strateginya, seiring keputusan UMNO menarik sokongan kepada PN.

Menyentuh usul undi percaya kepada Muhyiddin, Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian mencadangkan supaya usul itu dibentangkan bulan ini, lebih awal sebelum sidang Parlimen dibuka 6 September depan.

Ini kerana katanya, persidangan bulan depan yang mana sesi pembukaan Parlimen akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong dilihat sebagai tidak sesuai.

“Baginda titah, usul Perdana Menteri dibentang, Perdana Menteri jatuh. Ia tidak sesuai dibuat begitu.

“Jadi masa sesuai pada 15 Ogos atau pertengahan bulan Ogos, supaya ada lebih kurang dua minggu lebih bagi menentukan Perdana Menteri yang baharu,” katanya.

Beliau berkata cadangan seumpama itu juga disuarakan ramai pihak termasuk Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, yang meminta sidang diadakan sebelum titah Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin sebelum ini memaklumkan kerajaan bersetuju membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat pada persidangan September ini.

Sumber | BH

CATEGORIES

COMMENTS