Peguam ini kecam intimidasi ke atas pengkritik Sanusi

Peguam ini kecam intimidasi ke atas pengkritik Sanusi

Biro Undang-Undang Parti Amanah Negara (KANUN)

11 JULAI 2021/2 MUHARRAM 1443H

KANUN Kecam Intimidasi Ke Atas Pengkritik Menteri Besar Kedah

1. KANUN mengikuti rapat laporan akhbar yang telah melaporkan bahawa seramai 5 individu telahpun ditahan reman dan di bawah siasatan atas dakwaan ‘menghina’ Menteri Besar Kedah, YAB Muhammad Sanusi Md Nor. KANUN juga mendapati bahawa pihak Polis telah bertindak untuk menahan individu-individu tersebut berdasarkan laporan yang telah dibuat oleh Pegawai Khas Menteri Besar Kedah sendiri.

2. Tindakan menahan dan menyiasat individu-individu tersebut adalah suatu bentuk intimidasi untuk membisukan dan menekan suara para pengkritik YAB MB Kedah. KANUN juga percaya bahawa laporan yang dilakukan oleh Pegawai Khas YAB MB Kedah tersebut sudah pasti dilakukan dalam pengetahuan YAB MB Kedah. Oleh itu, tindakan YAB MB Kedah yang membiarkan perkara ini berlaku dan membisu menunjukkan beliau bersetuju dengan segala tindakan intimidasi yang sedang berlaku. Mungkin YAB MB Kedah lupa akan pesanan Rasulullah SAW “Jihad yang paling utama ialah mengatakan kebenaran (berkata yang baik) di hadapan penguasa yang zalim.” (HR. Abu Daud no. 4344)

3. KANUN juga menggesa agar semua bentuk siasatan dan tahanan berkaitan kritikan kepada pemimpin negara untuk segera dihentikan. Tindakan menahan pengkritik YAB MB Kedah ini adalah yang terbaru dalam siri intimidasi yang telahpun dikenakan ke atas para pengkritik Kerajaan Perikatan Nasional. Kritikan yang sedang ditujukan buat kerajaan semasa baik di peringkat persekutuan mahupun di peringkat kerajaan negeri Kedah adalah hasil manifestasi kemarahan rakyat yang sudah tidak tahan lagi melihat kegagalan #KerajaanGagal ini. KANUN bersedia untuk mewakili sesiapa yang ditahan ataupun didakwa berkait isu ini di Mahkamah.

4. KANUN juga mengambil kesempatan ini untuk menegur YAB MB Kedah untuk lebih cermat dalam tingkah laku dan berkata-kata. Sudah banyak kali keterlanjuran kata dan kelancangan mulut YAB MB Kedah telah memalukan institusi Menteri Besar Kedah itu sendiri. YAB MB Kedah diingatkan untuk jangan diperlebarkan timba ke perigi, kalau tak putus, genting.

Azri Abdullah
Timbalan Ketua #KANUNmuda
Biro Undang-Undang Parti AMANAH Negara (KANUN)

CATEGORIES

COMMENTS