Zahid minta MP Umno sokong Muhyiddin insaf!

Zahid minta MP Umno sokong Muhyiddin insaf!

Ahli Parlimen Umno dinasihatkan supaya insaf dan tidak berdiri bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang gagal menjaga rakyat, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menyatakan perjuangan Umno sentiasa memihak, mengutama dan mementingkan rakyat.

“Kepada Ahli Parlimen Umno yang masih menyokong kerajaan PN pimpinan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, nasihat saya insafilah kewajipan dan tanggungjawab kita sebagai wakil rakyat.

“Wakil rakyat yang bermaksud wakil kepada rakyat. Bukan wakil kepada mereka yang gagal menjaga rakyat,” katanya di Facebook.

Ahmad Zahid berkata, Ahli Parlimen Umno sepatutnya tidak memihak kepada mereka yang mahu mengekalkan penguasaan ke atas rakyat dan negara walaupun jelas telah gagal, membelakangkan keluhuran perlembagaan serta institusi diraja.

Beliau percaya, kini masanya untuk ahli Parlimen Umno membuktikan kepada rakyat bahawa wakil rakyat daripada parti itu sanggup berpayah demi berdiri bersama rakyat.

“Bukan berdiri bersama kegagalan yang menyaksikan lebih 10,000 rakyat telah kehilangan nyawa dan lebih 19,000 kes jangkitan wabak dilaporkan saban hari.

“Sehingga menyebabkan Malaysia dianggap antara negara yang gagal membendung penularan pandemik dalam dunia,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid mengarahkan semua Ahli Parlimen Umno menarik sokongan bukan sahaja terhadap Muhyiddin, malah membabitkan kerajaan PN.

Ketika berita ini ditulis, 14 Ahli Parlimen Umno membuat keputusan patuh kepada keputusan parti menarik balik sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin, namun beberapa wakil rakyat lain, termasuk mereka yang memegang jawatan tinggi kerajaan belum berbuat demikian.

Sumber | FMT

CATEGORIES

COMMENTS