Panas! Titah Diraja bakal ditunda untuk beri laluan usul undi percaya terhadap PM dahulu

Panas! Titah Diraja bakal ditunda untuk beri laluan usul undi percaya terhadap PM dahulu

Beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menjangka Titah Diraja sempena istiadat pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan ditunda bagi memberi laluan kepada usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin diselesaikan terlebih dahulu.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata cara itu dapat mengelakkan sebarang ‘gangguan’ kepada istiadat Titah Diraja.

“Saya difahamkan Titah Diraja mungkin ditunda kerana nak menunggu keputusan undi percaya terlebih dulu. Kalau kerajaan jatuh, macam mana nak laksanakan Titah Diraja itu.

“Perkara ini (peraturan Parlimen) dibuat manusia, maka semua ada jalan penyelesaiannya,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang usul undi percaya terhadap Muhyiddin akan dibuat dalam Sidang Dewan Rakyat pada 7 September nanti.

Kata Saifuddin, notis mengenainya dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat kepada semua Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Arau yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, beliau mendapat maklumat undi percaya mungkin dibuat lebih awal, bukannya pada 7 September.

“Saya tak berani bagi tarikh tapi mungkin dibuat (dalam sidang Dewan Rakyat) pada September juga, cuma lebih awal.

“Undi percaya mesti dibuat sebelum Titah Diraja, ini yang saya dengar, yang lain saya tidak tahu. Mungkin Saifuddin lebih tahu kerana dia Menteri Komunikasi (dan Multimedia) yang duduk diam saja,” katanya.

Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Sharif pula berkata, beliau belum menerima notis pemberitahuan berkenaan tarikh usul undi percaya namun berpendapat ia perlu dibuat sebelum Titah Diraja.

“Adalah lebih baik buat undi percaya dulu pada 6 September sebelum Tuanku menyampaikan Titah Diraja.

“Biarlah Tuanku datang ke Parlimen dalam keadaan selesa dan soal undi percaya sudah diselesaikan supaya titah baginda tidak menyebelahi mana-mana pihak,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya dari PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata usul undi percaya perlu disegerakan, bukannya menunggu tarikh 7 September kerana berpendapat Perdana Menteri sudah hilang majoriti.

“Justeru hal ini perlu diselesaikan segera. Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 11(3) memberi ruang untuk notis satu hari dikeluarkan oleh Speaker atas permintaan Perdana Menteri untuk membahaskan sesuatu isu yang segera dan penting,” tegasnya.

Turut senada ialah Ahli Parlimen Shah Alam dari AMANAH, Khalid Abd Samad yang menggesa Perdana Menteri bersikap ‘gentleman’ dengan meletakkan jawatan apabila sudah tidak memiliki majoriti.

Beliau berpendapat tarikh undi percaya pada 7 September itu sebagai terlalu lambat sekali gus membuka ruang kepada berlaku helah politik.

“Kita harap Yang di-Pertuan Agong bertindak. Pada pandangan saya kuasa itu ada pada Agong selepas semua pihak sudah tunjuk dan maklum kepada baginda tidak menyokong Muhyiddin,” katanya.

Sumber | BH

CATEGORIES

COMMENTS