Derita rakyat! 3 beranak tidur di pondok tepi pantai setelah dihalau dari rumah sewa

Derita rakyat! 3 beranak tidur di pondok tepi pantai setelah dihalau dari rumah sewa

Seorang ibu terpaksa membawa dua anak kecil tidur di tepi pantai selepas mereka dihalau daripada kediaman sewanya akibat tertunggak bayaran sewaan selepas hilang pekerjaan sejak beberapa bulan lalu akibat pandemik COVID-19.

Sebelum ini wanita itu bersama dua anaknya tinggal dalam sebuah pangsapuri sewa sehingga dihalau akibat gagal membayar sewa rumah, manakala suaminya dipenjarakan akibat pelbagai aktiviti jenayah.

Buruh kasar, Harvinderjit Kaur Bachan Singh, 31, mendakwa diarahkan keluar daripada rumah sewa sebelum membawa dua anaknya ke kawasan pantai di Batu 12 di sini, untuk tidur buat sementara waktu.

“Saya hilang punca pendapatan selepas tidak lagi bekerja sebagai buruh kasar akibat pandemik COVID-19 sejak beberapa bulan lalu menyebabkan saya gagal membayar sewa bulanan rumah sekitar RM400 sebulan.

“Mahu atau tidak, saya terpaksa membawa dua anak tidur berhampiran Balai Nelayan, Teluk Pelandok buat sementara waktu sebelum mencari rumah yang lain,” katanya ketika ditemui tadi.

Harvinderjit yakin dapat kembali bekerja jika keadaan pulih seperti sedia kala, namun masalah kewangan yang meruncing.

“Saya tidak pasti berapa lama mampu bertahan kerana sudah lama tidak bekerja dan tiada pendapatan namun memikirkan anak-anak yang masih kecil, saya perlu kuatkan semangat demi mereka.

“Saya terputus hubungan dengan keluarga sejak berhijrah dari Perak kerana berkahwin tanpa restu. Dalam keadaan sekarang, saya perlu terus pandang ke depan, soal makan, pakai dan kediaman untuk saya tiga beranak,” katanya.

Wanita itu ditemui selepas menerima sumbangan barang makanan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9).

Harvinderjit Kaur mendakwa menemui beberapa rumah untuk disewa tetapi dalam situasi sekarang, dia tidak mampu menyediakan wang pendahuluan.

“Sudah tiga malam kami tiga beranak tidur di satu pondok di pantai kepunyaan kawan untuk sementara waktu ini.

“Saya tak pasti macam mana nak dapatkan duit pendahuluan sewa rumah kerana tidak bekerja sejak beberapa bulan lalu malah kalau ada pun hanya untuk makan kami tiga beranak,” katanya.

Sementara itu, bekas jirannya yang hanya mahu dikenali sebagai Udin, 40an, bersimpati dengan nasib wanita itu yang tiada tempat berteduh sejak dihalau daripada rumah sewanya.

“Saya membenarkan dia bersama dua anaknya tidur di pondok saya di tepi pantai sementara dapat mencari sebuah rumah sewa, namun dia langsung tiada wang tunai sebagai pendahuluan sewa rumah.

Sumber | BH

CATEGORIES

COMMENTS