Saarani nafi kerjasama rentas parti di Perak sama macam tawaran Muhyiddin

Saarani nafi kerjasama rentas parti di Perak sama macam tawaran Muhyiddin

Kerjasama merentas parti politik di Perak tidak sama dengan tawaran yang dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerjasama tanpa mengira parti di negeri ini melibatkan pemberian peruntukan sama rata kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan pembangkang.

Menurutnya, perkara itu diputuskan kerana memikirkan peruntukan kerajaan negeri tidak boleh dijadikan sebagai alat politik, sebaliknya perlu digunakan sebaik mungkin oleh wakil rakyat yang dipilih pengundi masing-masing.

“Apa yang diumumkan Perdana Menteri semalam (Jumaat), bukan satu tawaran berkaitan peruntukan yang sama kepada ahli Parlimen sahaja, ada banyak tawaran lain. Tawaran-tawaran ini harus diperhalusi satu persatu.

“Perak membuat keputusan memberi peruntukan RM200,000 kepada semua ADUN kerajaan dan pembangkang. Itu pendirian kita, tetapi tak adalah benda-benda (tawaran) lain yang dibincangkan berkaitan dengan rentas politik,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Meru 2B di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tujuh tawaran yang dikemukakan Muhyiddin kepada semua ahli Parlimen pada Jumaat.

Saarani berkata, idea menyalurkan peruntukan secara sama rata dalam kalangan ADUN di Perak timbul selepas beliau mempunyai pengalaman menjadi kerajaan dan pembangkang sebelum ini.

Sementara itu, Saarani enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai calon Perdana Menteri baharu daripada UMNO sekiranya Muhyiddin melepaskan jawatan.

Pengerusi UMNO Perak itu berkata, pencalonan nama Perdana Menteri baharu perlu dibuat secara kolektif oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan bukan dicalonkan oleh UMNO negeri.

“MT UMNO seluruh negara perlu berbincang untuk mengemukakan calon terbaik daripada parti itu untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Sumber | SH

CATEGORIES

COMMENTS