Terkini! Gandingan Anwar-Shafie bakal kembalikan mandat PRU14

Terkini! Gandingan Anwar-Shafie bakal kembalikan mandat PRU14

Di tengah spekulasi berhubung peletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan calon penggantinya, DAP menggesa ketua pembangkang Anwar Ibrahim dan presiden Warisan Shafie Apdal untuk bersama-sama menuntut kembali mandat Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan baru.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, harus ada alternatif sebenar yang dikemukakan bagi melawan apa yang didakwanya sebagai salah tadbir kerajaan PN.

“PH bersama blok pembangkang yang terdiri daripada 105 ahli parlimen tidak harus membazir masa, tetapi mengguna pakai pendekatan ‘khemah besar’ untuk menuntut semula mandat sebagai kerajaan yang dipilih secara berperlembagaan oleh rakyat.

“Hanya dengan bermula dengan (bilangan) asas 105 ahli parlimen pembangkang, (barulah) ahli-ahli parlimen PH Plus boleh menuntut semula mandat PRU 2018 yang dirampas oleh kerajaan pintu belakang terdiri daripada parti yang ditolak rakyat,” kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Anwar dan Shafie menggalas tanggungjawab untuk bekerjasama bagi mengembalikan mandat tersebut kepada rakyat, seperti ketika PH dipilih dalam PRU14 dahulu.

“Kekal dengan kerajaan PN yang telah gagal bukanlah penyelesaian kepada masalah yang dihadapi negara, memandangkan masalahnya adalah keseluruhan PN,” kata Lim.

Muhyiddin telah menyampaikan hasrat untuk meletakkan jawatan ketika dia bertemu ahli-ahli parlimen Bersatu di ibu pejabat PN pagi ini, menurut menteri di Jabatan Perdana Menteri (tugas-tugas khas), Mohd Redzuan Md Yusof.

Sekiranya peletakan jawatannya diterima, Muhyiddin akan menjadi perdana menteri paling singkat menggalas jawatan itu iaitu selama 17 bulan, kurang lima bulan daripada tempoh mDr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri buat kali kedua.

Sumber | MK

CATEGORIES

COMMENTS