Lelaki ini kata Putrajaya perlu diterajui pasukan baharu

Lelaki ini kata Putrajaya perlu diterajui pasukan baharu

KENYATAAN MEDIA
PASUKAN BAHARU PERLU TERAJUI PUTRAJAYA

Seluruh negara hari ini tertumpu kepada perkembangan politik semasa yang menyaksikan Tan Sri Mahiaddin Md. Yasin hilang sokongan majoriti ahli parlimen dan desakan untuk beliau meletakkan jawatan sudah tidak dapat dilengah lagi.

Dilaporkan beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini bagi memenuhi tuntutan Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil langkah meletakkan jawatan atau menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan parlimen. Namun ramai melihat pilihan yang sesuai berdasarkan keadaan semasa negara adalah beliau meletakkan jawatan.

Pemuda AMANAH Nasional berpandangan, hilang percaya terhadap Tan Sri Mahiaddin Md. Yasin bukan sahaja kepada beliau semata-mata namun keseluruhan Kerajaan Perikatan Nasional.

Berdasarkan kepada ‘langkah derhaka’ yang dibuat dalam isu pembatalan Ordinan Darurat pada Julai lalu, tanggungjawab kepada tindakan tersebut tidak seharusnya ditanggung oleh Perdana Menteri sahaja malah seluruh anggota kabinet perlu bertanggungjawab terhadap tindakan tersebut.

Begitu juga dengan keadaan negara yang semakin memburuk dengan jumlah kematian akibat Covid-19 mencecah angka 12 510 dengan kes kumulatif sebanyak 1 404 899. Ini adalah kegagalan yang harus dipikul seluruh Kerajaan PN khususnya anggota kabinet yang diterajui Tan Sri Mahiaddin Md. Yasin.

Maka sebab itu, pasukan baharu yang lebih berwibawa dan menjunjung prinsip Demokrasi Berparlimen serta Raja Berperlembagaan sewajarnya diberikan peluang untuk mengambil alih tanggungjawab mentadbir negara pada ketika begitu banyak masalah yang perlu diselesaikan segera.

Dalam hal ini, parti anggota Pakatan Harapan, rakan sekutu dari pembangkang dan mana-mana Ahli Parlimen yang mempunyai kesedaran ini, seharusnya bersikap berlapang dada untuk mengambil tanggungjawab dengan mengenepikan segala perbezaan dan memberi tumpuan terhadap proses menyelamatkan negara.

Kami yakin dengan kerjasama yang memusat kepada usaha memerangi ancaman Covid-19, pemacuan semula ekonomi dan tumpuan penyelesaian kepada segala masalah yang membelenggu rakyat, segala perbezaan dapat diketepikan.

Apa yang lebih penting adalah sebuah pasukan yang benar-benar bersedia untuk berkhidmat dan menghadirkan idea-idea segar perlu dibentuk segera seperti mana yang diharapkan rakyat.

Semoga hasrat murni untuk melihat negara ini kembali ke landasan dan dipulihkan segera berjaya direalisasikan.

YB MUHAMAD TAQIUDDIN CHEMAN
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional

16 Ogos 2021

CATEGORIES

COMMENTS