Mat Sabu ajak Muhyiddin kembali ke pangkal jalan, perbaiki kesilapan

Mat Sabu ajak Muhyiddin kembali ke pangkal jalan, perbaiki kesilapan

HORMATI DEMOKRASI DAN JANGAN ULANGI PENGKHIANATAN

Sejak merdeka 1957, negara telah melalui sebanyak 14 kali pilihan raya umum sebagai satu proses pemilihan kepimpinan negara.

Parti-parti politik bersaing merebut pengaruh dan mendapatkan sebanyak mungkin sokongan daripada rakyat. Parti yang mendapat paling banyak undi dikira pemenang.

Parti atau gabungan yang mempunyai paling ramai wakil akan membolehkan mereka membentuk kerajaan, sementara pihak yang kalah akan berusaha lagi mendapatkan sokongan dalam pilihan raya berikutnya.

Amalan ini telah diterima pakai oleh rakyat sejak merdeka. Sekalipun masih memerlukan penambahbaikan, namun secara umumnya itulah sistem demokrasi yang diterima oleh semua.

Namun pada Februari 2020, satu episod hitam telah tercatat dalam sejarah demokrasi negara.

Sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya telah dijatuhkan melalui pengkhianatan wakil-wakil rakyat yang melompat parti. Ini bukan sahaja sesuatu yang malang malah sesuatu yang sial.

Kini, kerajaan yang diakui oleh mereka sendiri dibentuk secara ‘tebuk atap’ dengan mencuri mandat rakyat ini bakal rebah. Ia ternyata bukan sebuah kerajaan yang stabil malah ianya adalah sebuah kerajaan yang gagal.

Muhyiddin adalah salah seorang watak dalam pengkhianatan tersebut. Pengkhianatan beliau bersama rakan-rakannya menyebabkan jatuhnya sebuah kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat Malaysia melalui pilihan raya.

Kini beliau terhukum oleh pengkhianatannya yang dahulu. Sejarah akan merakamkan bahawa beliau adalah seorang Perdana Menteri yang gagal, mencuri mandat dari rakyat Malaysia.

This is the biggest evil.

Jika dalam peperangan, sejarah menukilkan bahawa pengkhianat ni biasanya dihukum bunuh.

Ini kerana pengkhianatan mereka merosakkan sistem demokrasi.

Pengkhianatan atau mencuri mandat rakyat di tengah jalan seperti yang dilakukan ini tidak boleh dibiarkan.

Apa akan terjadi jika suatu hari nanti 40 orang ahli parlimen berjaya dibeli oleh kuasa luar setiap penggal? Tentunya kedaulatan negara akan tergadai.

Peristiwa ini tidak harus dibiarkan berulang. Mandat rakyat melalui pilihan raya tidak wajar dipermainkan dengan mencuri dan melompat parti ditengah jalan.

Tiada jalan lain kepada pengkhianatan ini melainkan kembali ke pangkal jalan dan berusaha memperbaiki kesilapan tersebut.

Sesungguh Tuhan Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Mohamad Sabu

Presiden
Parti Amanah Negara
16 Ogos 2021
bersamaan 08 Muharram 1442

CATEGORIES

COMMENTS